Tag: #SpiritualJourney

  • Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Satu Perjalanan Jiwa Bersama Black Hanifah Dalam “Hadirmu Ramadhan”

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” lahir daripada rasa kerinduan dan kesyukuran terhadap kehadiran bulan Ramadan. Karya ini menggambarkan bagaimana Ramadan menjadi ruang untuk manusia mencari ketenangan jiwa, keinsafan diri, serta membina hubungan yang lebih erat dengan Tuhan. Menurut komposer dan penulis lirik bersama, Nyawablack (Black Hanifah), yang juga terlibat sebagai penyanyi, lagu ini bersifat reflektif, lembut, dan penuh harapan, sesuai didengari sebagai peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan — bukan sekadar bulan perayaan, tetapi bulan muhasabah dan penyucian jiwa. Penyanyi popular Hazama turut menyumbang idea dalam penulisan lirik dengan nama pena Kadok.

    Inspirasi utama “Hadirmu Ramadhan” tercetus daripada suasana Ramadan itu sendiri — kenangan malam-malam sunyi, doa yang sarat kesyahduan, serta rasa rindu yang hadir setiap kali bulan mulia ini menjelma. Lagu ini turut diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Black melihat bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia, walaupun seketika, namun meninggalkan kesan mendalam dan penuh makna.

    Proses penulisan lagu ini bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik disusun secara berperingkat. Setiap bait lirik dirangka dengan teliti agar mesej dapat disampaikan secara jujur tanpa berlebihan. Liriknya digambarkan sebagai dialog seorang insan dengan Tuhannya, lahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran. Kolaborasi antara Nyawablack dan Kadok pula berlaku secara spontan; ketika demo lagu didengar Hazama, perbincangan santai tentang lirik membuka ruang untuk penambahbaikan supaya selari dengan emosi dan melodi lagu. Gabungan idea ini menghasilkan “Hadirmu Ramadhan” sebagai karya yang lebih seimbang dan berjiwa.

    Cabaran utama dalam penghasilan lagu ini adalah memastikan ia kekal ikhlas dan tidak klise, kerana lagu bertemakan Ramadan mudah terdedah kepada pengulangan tema. Cabaran lain termasuk menyampaikan mesej yang dekat dengan pendengar tanpa terasa terlalu berat atau terlalu ringan. Dari segi tempoh penghasilan, lagu ini mengambil beberapa minggu untuk disiapkan sepenuhnya, merangkumi penulisan lirik, susunan muzik, dan rakaman, meskipun idea asal tercetus sejak setahun lalu.

    Keistimewaan “Hadirmu Ramadhan” terletak pada pendekatan peribadi dan introspektifnya. Lagu ini tidak sarat dengan elemen perayaan, sebaliknya menekankan rasa rindu, muhasabah diri, serta pencarian makna Ramadan dalam diri setiap insan. Secara tersirat, karya ini menyampaikan mesej tentang peluang kedua. Ramadan digambarkan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya, mengajak manusia memperbaiki diri, memaafkan, dan kembali kepada fitrah, sebagai rahmat yang tidak seharusnya disia-siakan.

    Lagu “Hadirmu Ramadhan” boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital mulai 24 Februari 2026, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ pada 20 Februari 2026, jam 3 petang.

  • The Orchid Journey: Usaha Menyingkap Makna Keseimbangan Hidup Bagi Wanita Masa Kini

    The Orchid Journey: Usaha Menyingkap Makna Keseimbangan Hidup Bagi Wanita Masa Kini

    The Orchid Journey, terbitan Skyhill Clinic, hadir sebagai sebuah siri travelog inspirasi yang menghimpunkan tiga tokoh wanita berpengaruh Malaysia dalam satu misi yang cukup bermakna: mencari keseimbangan hidup wanita masa kini. Menampilkan gabungan kepakaran daripada tiga figura disegani — Dr. Linda Mat Hassin, doktor perubatan terlatih dalam perawatan hormon dan kesihatan wanita; Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa, guru kerohanian dan personaliti dakwah yang dihormati; serta Datuk Dr. Faridah Hanim Haron, pakar kepimpinan dan pembangunan organisasi — siri ini membawa penonton menyelami pertembungan antara tuntutan dunia moden dan keperluan jiwa yang mendambakan ketenangan.

    Mengembara ke dua destinasi berbeza, Tokyo dan Bandung, siri ini bukan sekadar merakam perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan batin yang penuh nilai dan refleksi. Di sepanjang episod, penonton dibawa mengikuti perbualan mendalam, perkongsian pengalaman sebenar serta renungan jujur mengenai isu-isu yang sering membelenggu wanita hari ini — tekanan kerjaya, tuntutan keluarga, keseimbangan hormon, kesihatan mental, hubungan spiritual, dan cabaran kepimpinan dalam konteks dunia yang bergerak pantas. Setiap langkah dan perhentian dalam travelog ini dijadikan metafora terhadap perjalanan hidup yang menuntut kebijaksanaan dalam menyusun keutamaan dan menjaga bahagian paling sensitif dalam diri seorang wanita: hati dan jiwa.

    Dengan durasi antara 20 hingga 25 minit setiap episod, The Orchid Journey menggabungkan elemen sinematografi berkualiti tinggi, naratif yang kontemplatif serta dialog yang sarat nilai. Visual indah kota Tokyo yang moden dan tenang, serta kehangatan budaya Bandung yang penuh warna, menjadi latar sempurna yang mencerminkan pertembungan dua dimensi kehidupan wanita — kecemerlangan luar dan ketenangan dalam. Ia bukan sekadar dokumentasi pelancongan, tetapi sebuah naskhah yang mengajak wanita kembali menyentuh akar diri, memelihara kesihatan holistik, dan menimbang semula makna keseimbangan dalam kehidupan seharian.

    Menurut Dr. Linda Mat Hassin, penerbit eksekutif dan penggerak utama projek ini, “Wanita hari ini hidup di antara dua dunia — satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi, dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna. The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya.” Kenyataan ini merangkum dengan tepat visi siri tersebut — mencipta ruang baharu di mana wanita dapat meraih kekuatan, ilmu dan inspirasi, sambil memahami diri mereka dengan lebih mendalam.

    Penerbitan siri ini turut diperkukuh oleh sokongan padu daripada para penaja rasmi. Skyhill Clinic selaku Penaja Utama menjadi tulang belakang projek ini, disertai oleh Siti Khadijah sebagai Rakan Rasmi Busana Muslimah; AMPAC sebagai Rakan Latihan Rasmi; MedikGO sebagai Rakan Portal Kesihatan Rasmi; Linheal sebagai Rakan Suplemen Halal; Casalwa sebagai Rakan Butik Rasmi; serta Brainy Bunch sebagai Rakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Kolaborasi menyeluruh ini mencerminkan kekuatan jaringan industri yang bersama-sama mengangkat misi memperkasakan wanita dari segi kesihatan, spiritual dan kepimpinan.

    Dalam sidang media pelancaran, turut diumumkan pelantikan Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic dan Datuk Dr. Faridah Hanim Haron sebagai Penasihat Korporat Skyhill Clinic. Pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi komitmen Skyhill Clinic terhadap usaha merangkum nilai ilmu, spiritual dan profesionalisme dalam memacu kesejahteraan wanita secara holistik.

    The Orchid Journey bukan sekadar siri travelog — ia adalah sebuah seruan untuk wanita kembali memegang kendali hidup, memahami tubuh serta jiwa mereka, dan meraih kekuatan baharu dalam perjalanan menjadi wanita yang seimbang, berdaya dan bermakna.

  • Dari Hati ke Jiwa: Harris J Hidupkan Semangat Baru Menerusi Revival

    Selepas beberapa tahun menyepi daripada industri muzik, penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kembali menghangatkan pentas dunia dengan pelancaran EP terbaharunya berjudul Revival. Album ini diterbitkan oleh Awakening Music dan kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.

    Revival yang memuatkan enam buah lagu mengetengahkan tema keimanan, kasih sayang, dan pencarian diri. Ia mencerminkan kematangan Harris J, baik sebagai seorang artis mahupun individu, dengan lirik-lirik yang lebih mendalam dan penuh ketulusan. Antara lagu yang menjadi tumpuan ialah Qalbi Fil Madinah yang menampilkan Maher Zain, O Allah, Salati, dan Always Listening. Single utama, Hayati, turut dilengkapi video muzik sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan latar lokasi mempesona di Granada, Sepanyol.

    “Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan peminat di sini adalah inspirasi terbesar saya. Saya berharap Revival dapat menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” ujar Harris J ketika sesi promosi eksklusif di Kuala Lumpur.

    Beliau menegaskan, Revival bukan sekadar kemunculan semula, tetapi juga misi peribadi untuk membantu generasi muda Muslim berbangga dengan identiti mereka dan melihat Islam sebagai cara hidup yang sempurna.

    Harris J mula mencuri perhatian pada 2015 melalui album sulung Salam yang melahirkan hit seperti Salam Alaikum, Good Life dan I Promise. Dengan gabungan melodi kontemporari dan mesej positif, beliau kini muncul kembali sebagai suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan, menyentuh hati pendengar dari seluruh dunia.