Dari Hati ke Jiwa: Harris J Hidupkan Semangat Baru Menerusi Revival
3 min read
Selepas beberapa tahun menyepi daripada industri muzik, penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kembali menghangatkan pentas dunia dengan pelancaran EP terbaharunya berjudul Revival. Album ini diterbitkan oleh Awakening Music dan kini boleh didapati di semua platform penstriman utama.
Revival yang memuatkan enam buah lagu mengetengahkan tema keimanan, kasih sayang, dan pencarian diri. Ia mencerminkan kematangan Harris J, baik sebagai seorang artis mahupun individu, dengan lirik-lirik yang lebih mendalam dan penuh ketulusan. Antara lagu yang menjadi tumpuan ialah Qalbi Fil Madinah yang menampilkan Maher Zain, O Allah, Salati, dan Always Listening. Single utama, Hayati, turut dilengkapi video muzik sinematik arahan pengarah Perancis-Tunisia, Idris Kheder, dengan latar lokasi mempesona di Granada, Sepanyol.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan peminat di sini adalah inspirasi terbesar saya. Saya berharap Revival dapat menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka,” ujar Harris J ketika sesi promosi eksklusif di Kuala Lumpur.

Beliau menegaskan, Revival bukan sekadar kemunculan semula, tetapi juga misi peribadi untuk membantu generasi muda Muslim berbangga dengan identiti mereka dan melihat Islam sebagai cara hidup yang sempurna.
Harris J mula mencuri perhatian pada 2015 melalui album sulung Salam yang melahirkan hit seperti Salam Alaikum, Good Life dan I Promise. Dengan gabungan melodi kontemporari dan mesej positif, beliau kini muncul kembali sebagai suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan, menyentuh hati pendengar dari seluruh dunia.