Tag: #KLStreetJam2025

  • Dari Jalan ke Jiwa: Street Jam KL 2025

    Dari Jalan ke Jiwa: Street Jam KL 2025

    Edisi pertama KL Street Jam 2025 membuka tirai dengan penuh warna dan semangat pada malam 2 Ogos di Laman Jejak Pahlawan, Bulatan Dato’ Onn, bersempena sambutan bulan kemerdekaan negara. Bertemakan “Merdeka Street Vibes”, acara ini diterbitkan oleh Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan matlamat menyemarakkan patriotisme melalui seni jalanan yang segar dan merakyat.

    Program yang berlangsung dalam suasana terbuka dan santai ini berjaya menarik perhatian khalayak pelbagai peringkat umur, menyatukan mereka menerusi gabungan muzik, tarian dan seni persembahan.

    Antara momen paling menyentuh hati malam tersebut ialah penampilan istimewa penyanyi legenda Maman (Teachers Pet) yang kembali ke pentas buat pertama kali selepas berehat panjang susulan pemergian isteri tercinta, Fayza Mohamed Amin, akibat barah tahun lalu. Beliau memukau penonton dengan persembahan lagu-lagu ikonik seperti Kasih Ku Pinjam Wajahmu, Cinta Kita dan Warisan Wanita Terakhir, mencipta suasana penuh emosi dan penghargaan.

    Turut menghangatkan pentas ialah Haiza, yang tampil penuh bertenaga membawakan lagu Penasaran, Tanah Pusaka dan versi terkini Dag Dig Dug 3.0. Persembahan Dr. Kronik pula menyuntik elemen moden dan urban dengan lagu seperti Hidup Hidup Dibakar, Zero To Hero dan Fanatik.

    Menyerikan lagi malam ialah pengacara serba spontan dan bersahaja, Nadia Hasnan, yang berjaya mencipta suasana ceria melalui interaksi mesra bersama penonton.

    Acara turut diserikan dengan koreografi tarian patriotik berwarna-warni oleh Artis Budaya DBKL, diiringi oleh Kombo Budaya DBKL yang mempersembahkan susunan muzik bertemakan semangat kemerdekaan dan cinta tanah air.

    Dengan latar lokasi bersejarah di dalam Koridor Warisan Kuala Lumpur, Laman Jejak Pahlawan kini semakin menyerlah sebagai pentas terbuka untuk seni komuniti dan budaya kota. Aspirasi DBKL untuk menjadikan ruang ini sebagai hab budaya urban kini semakin direalisasikan.

    KL Street Jam edisi Merdeka ini membuktikan seni jalanan mampu menjadi jambatan perpaduan rakyat pelbagai latar, membentuk ruang inklusif yang meraikan seni tempatan.

    Edisi seterusnya dijadual berlangsung pada 23 Ogos 2025, jam 8.30 malam di lokasi sama dengan barisan artis hebat yang bakal diumumkan kelak.