Misi Bermula Semula: Jejak Emosi dan Aksi Ejen Ali Sebelum Filem Baharu Meledak Pawagam

Penantian bakal berakhir! Filem animasi yang dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2, akan menjengah pawagam seluruh negara bermula 22 Mei ini. Sebagai persediaan untuk misi terbaharu ini, peminat setia diseru untuk mengimbas kembali perjalanan mendebarkan Ejen Ali – daripada seorang pelajar biasa kepada ejen penting dalam mempertahankan bandar futuristik Cyberaya.

Sejak musim pertama ditayangkan, siri Ejen Ali telah memikat hati penonton dengan kisah penuh aksi, nilai kekeluargaan dan pengorbanan. Siri animasi ini telah berkembang kepada tiga musim dan satu filem hebat yang ditayangkan pada 2019, menjadikan francais ini sebagai antara animasi tempatan paling berjaya.

Musim pertama memperkenalkan Ali yang secara tidak sengaja mengaktifkan IRIS – peranti perisikan canggih milik agensi rahsia MATA. Dia perlu menyesuaikan diri sebagai ejen muda dengan sokongan Ejen Bakar dan Ejen Alicia, dalam usaha menentang musuh utamanya, Uno. Siri ini mengangkat tema keberanian dan tanggungjawab di usia muda.

Dalam musim kedua, Ali melangkah ke Akademi MATA dan menghadapi cabaran fizikal dan emosi apabila prestasinya dibandingkan dengan rakan-rakan ejen yang lebih berpengalaman. Dalam masa yang sama, ancaman Uno dan kumpulan Numeros menguji kecekalan serta kerjasama mereka sebagai satu pasukan.

Kejayaan francais diteruskan dengan Ejen Ali The Movie (2019), yang membawa konflik lebih peribadi. Ali terpaksa mempertikaikan kesetiaannya apabila teknologi IRIS Neo menggugat kedudukannya. Kehadiran watak misteri Niki dan pendedahan tentang masyarakat Pinggiran Cyberaya menambah dimensi baharu dalam naratif Ali yang semakin kompleks dan emosional.

Musim ketiga pula memfokuskan perjuangan Ali menebus kembali kepercayaan MATA selepas kontroversi terdahulu. Dengan menyertai pertandingan Arena MATA, Ali bukan sahaja menghadapi saingan antarabangsa, malah berdepan dengan sejarah keluarganya apabila mengetahui ibunya adalah pencipta asal IRIS. Dalam masa yang sama, ancaman dari Cinco dan Rizwan memuncak, menjadikan musim ini antara yang paling mendebarkan.

Dengan Ejen Ali The Movie 2 bakal ditayangkan tidak lama lagi, ini adalah masa terbaik untuk semua ‘Ejens’ mengulangkaji misi lalu. Saksikan semua musim dan filem terdahulu di saluran rasmi YouTube dan bersiap sedia untuk pengalaman sinematik yang lebih hebat, lebih emosional, dan penuh kejutan.

Tonton treler rasmi Ejen Ali The Movie 2 di sini: https://youtu.be/5nD1LWmAeKc?si=xPVusg_hDpqzHoTQ