Filem animasi tempatan yang paling dinanti-nantikan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini mencatat pencapaian luar biasa apabila berjaya meraih kutipan melebihi RM34.2 juta dalam hanya 11 hari tayangan, menjadikannya filem animasi tempatan dengan kutipan terpantas dalam sejarah. Kejayaan ini sekali gus memecahkan rekod kutipan filem pertamanya, membuktikan bahawa kekuatan jenama Ejen Ali masih kukuh dan terus mencetus fenomena di seluruh negara.
Lebih membanggakan, EATM2 berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa yang ditayangkan dalam tempoh sama seperti Thunderbolts, Mission: Impossible, dan Lilo & Stitch. Ini menunjukkan bahawa penonton Malaysia semakin memberi kepercayaan dan sokongan terhadap karya tempatan yang setanding dengan naskhah global, khususnya dalam genre animasi aksi keluarga.
Lebih 2 juta penonton dilaporkan telah menonton EATM2 di pawagam, menjadikannya pilihan utama keluarga Malaysia sempena cuti sekolah bermula 29 Mei lalu. Ramai penonton berkongsi pengalaman mereka yang menonton lebih dari sekali, bahkan mengajak ahli keluarga lain menyertai misi bersama Ejen Ali – menjadikan tontonan ini satu aktiviti riadah yang penuh makna untuk semua lapisan usia.
Pengarah EATM2, Usamah Zaid Yasin, menyatakan rasa syukur dan teruja dengan sambutan yang diberikan. “Kami curahkan segala usaha dan jiwa dalam penghasilan sekuel ini demi peminat setia yang menanti misi baharu Ejen Ali. Reaksi positif di pawagam – ketawa, air mata dan tepukan – adalah ganjaran terbaik buat seluruh pasukan WAU Animation. Kami terharu dan bersemangat untuk terus meluaskan dunia Ejen Ali.”
Sementara itu, Puan Nini Yusof, Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios turut meluahkan penghargaan: “Kutipan ini bukan sekadar angka, ia simbol kepercayaan penonton terhadap karya animasi tempatan dan usaha gigih penggiat industri. Terima kasih kepada semua yang terus memberi sokongan kepada EATM2. Kami amat terharu dan bangga.”
Menambah keterujaan, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut berkongsi pengalaman menonton EATM2 bersama anak-anaknya, Afwa dan Aafiyah. Menerusi TikTok, beliau menulis: “Bagi saya movie Ejen Ali banyak mesej positif… mengajar anak kita tentang disiplin, keberanian dan keyakinan diri.” Sokongan daripada tokoh seni tersohor negara ini terus menguatkan lagi daya tarikan filem ini sebagai pilihan wajib tonton musim cuti.
EATM2 kini masih hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara. Pelbagai aktiviti promosi seperti pertandingan mewarna, penampilan maskot, dan jualan eksklusif barangan edisi terhad turut dianjurkan di lokasi terpilih. Kemeriahan ini menjadikan kunjungan ke pawagam lebih istimewa dan menyeronokkan buat seisi keluarga.
Filem aksi animasi yang penuh emosi ini bukan sahaja menghiburkan, malah menyampaikan nilai-nilai murni yang relevan dan mendidik. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan produksi tempatan yang telah mencuri hati jutaan penonton.