Dari Trolak ke Prague: MAWO Buktikan Kehebatan Anak FELDA di Persada Dunia

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas kejayaan luar biasa yang telah dicapai oleh MARESMAF Wind Orchestra (MAWO) dalam Festival Antarabangsa Wind Orchestra Prague 2025 yang berlangsung di Republik Czech semalam.

Kejayaan MAWO bukan sekadar pencapaian dalam bidang muzik, tetapi merupakan lambang iltizam, ketekunan dan semangat juang tinggi anak-anak dan cucu-cucu FELDA yang berjaya mengangkat nama negara dan FELDA di pentas antarabangsa. Dari bumi Trolak ke kota Prague, kejayaan ini membuktikan bahawa dengan bimbingan, sokongan dan impian besar, anak FELDA mampu berdiri megah bersama yang terbaik dari seluruh dunia.

FELDA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YB Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi, serta YBhg Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang menjadi antara pemangkin utama kepada misi ini.

Turut diraikan, rakan-rakan strategik yang telah memberikan komitmen tinggi, khususnya U Mobile, antara penaja utama yang tampil awal memberikan sokongan terhadap MAWO. Tidak dilupakan juga FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd serta beberapa syarikat korporat lain yang turut menyumbang kepada kejayaan bersejarah ini.

FELDA juga ingin merakamkan penghargaan khas kepada barisan guru dan ibu bapa MRSM Ulul Albab FELDA Trolak, terutamanya kepada Yang Mulia Cikgu Raja Muzafar Shah Raja Abdullah, selaku guru pembimbing yang sentiasa menjadi tulang belakang MAWO sejak awal. Jasa beliau dalam membentuk pasukan ini hingga ke tahap dunia amat dihargai.

Kejayaan ini turut disemarakkan oleh peranan penting YBhg Dato’ Mokhzani Ismail, Pengarah Perkhidmatan Muzik RTM, tokoh muzik negara yang telah menjadi penasihat dan inspirasi kepada pasukan ini sepanjang persiapan mereka.

FELDA percaya bahawa pencapaian ini adalah hasil sinergi merentas sektor pendidikan, kerajaan, swasta dan komuniti. Ia menjadi bukti bahawa apabila semua pihak berganding bahu, kejayaan yang membanggakan bukan sekadar impian, malah satu realiti.

Kami berharap pencapaian MAWO ini menjadi inspirasi buat seluruh warga FELDA dan generasi muda luar bandar untuk terus bermimpi besar, bekerja keras dan meletakkan nama Malaysia di peta dunia dalam pelbagai bidang.