NIDJI & EJEN ALI BERGABUNG UNTUK MISI CUTI SEKOLAH PALING HANGAT!

Nidji dan Ejen Ali bergabung untuk misi cuti sekolah paling hangat. Gabungan muzik dan animasi ini menghidupkan semangat persahabatan di pawagam dan menjanjikan pengalaman hiburan yang penuh makna untuk seisi keluarga.

Cuti sekolah kali ini menjadi lebih meriah dengan kehadiran semula kumpulan muzik terkenal dari Indonesia, Nidji, ke Malaysia. Kehadiran mereka bersempena kolaborasi istimewa bersama filem animasi Ejen Ali The Movie 2 atau EATM2. Lagu tema “Teman Sejati” yang dinyanyikan oleh Nidji bukan sahaja mendapat sambutan hangat, malah menjadi lagu siulan dalam kalangan peminat yang mengikuti perkembangan dunia Ejen Ali.

Bagi meraikan kejayaan lagu ini, acara Ejen Ali Nonton Bareng with Nidjiholics bakal menggabungkan muzik dan filem dalam satu pengalaman yang unik dan istimewa. Pada 1 Jun ini, para peminat berpeluang bertemu secara langsung dengan Nidji serta menonton tayangan EATM2 bersama mereka. Di GSC IOI City Mall Putrajaya (WEST), sesi Meet & Greet akan diadakan selepas tayangan jam 2:25 petang dan 2:45 petang. Sementara itu, di GSC One Utama, Nidji akan membuat penampilan pada jam 9:00 malam dan turut menyertai sesi tayangan bersama peminat pada jam 9:15 malam. Dengan tiket berharga RM35, penonton bukan sahaja dapat menikmati filem ini, malah membawa pulang barangan eksklusif Ejen Ali.

Keseronokan berterusan pada 3 Jun di TGV Central i-City, Shah Alam, apabila Nidji akan membuat lawatan istimewa ke empat dewan selepas tayangan pada jam 12:30 tengah hari, 12:45 tengah hari, 1:00 petang dan 1:15 petang. Para peminat dapat merasai keakraban bersama ahli kumpulan dalam suasana lebih santai, bergambar dengan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia serta memenangi hadiah menarik berkaitan filem.

Sebagai penutup sempurna lawatan mereka ke Malaysia, Nidji bakal tampil dalam rancangan khas Melodi Showcase: Nidji x EATM2 Music Tour yang akan disiarkan di TV3 sepanjang bulan Jun. Program ini merupakan antara kemuncak sambutan ulang tahun ke-41 TV3 dan dijangka menggamit kenangan peminat dengan lagu-lagu popular Nidji yang penuh semangat dan nostalgia.

Kolaborasi antara Nidji dan Ejen Ali menerusi lagu “Teman Sejati” mendapat pujian ramai kerana mesejnya yang menyentuh hati. Lirik yang menyampaikan semangat persahabatan dan pengorbanan ini berjaya mengangkat tema filem ke satu tahap yang lebih mendalam. Melodinya yang segar dan senang diingati menjadikan lagu ini sebuah simbol ikatan kukuh antara para ejen yang berjuang demi misi mereka.

Cuti sekolah kali ini lebih daripada sekadar hiburan. Ia adalah peluang untuk mencipta memori bermakna bersama orang tersayang, menyemai semangat persahabatan dan menyokong hasil karya tempatan. Saksikan Ejen Ali The Movie 2 dan rasai sendiri kehangatan kolaborasi ini.

Gunakan tanda pagar #EjenAliTheMovie2 #EATM2 #EjenAli #Letsplay #AniMY #SapotLokal #SaluteAnimatorTempatan untuk kongsikan pengalaman anda di media sosial dan terus hangatkan perbualan dalam misi hiburan musim cuti sekolah ini.