Tag: \#WaniKayrie #CakCakCekuk #LaguBaru2025 #IramaRakyatModen #RocketfuelEntertainment #LaguKahwin #PopTradisional #SingleTerbaru #MuzikMalaysia #WaniKayrie2025

  • WANI KAYRIE CETUS AURA BAHARU DENGAN SINGLE “CAK CAK CEKUK”

    WANI KAYRIE CETUS AURA BAHARU DENGAN SINGLE “CAK CAK CEKUK”

    Wani Kayrie kembali mencuri perhatian pentas muzik tempatan dengan single terbaharunya yang cukup unik berjudul “Cak Cak Cekuk”, sebuah karya muzik pop moden yang diadun indah dengan sentuhan irama rakyat – menyampaikan kisah realiti dan harapan cinta pasangan muda masa kini. Diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment, lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu bentuk penghormatan terhadap warisan budaya dan suara hati generasi baharu.

    “Cak Cak Cekuk” adalah hasil ciptaan bersama Karim Karam, Shane Kennedy dan Iqie Hugh, yang berjaya mengangkat semangat tradisional menerusi melodi yang ceria serta lirik yang bersahaja namun penuh makna. Lagu ini diilhamkan daripada nyanyian rakyat klasik “Cak Cekur Udang Gamit”, yang sering didendangkan oleh ibu dan nenek pada zaman dahulu kepada anak-anak kecil – kini diberi nafas baharu dalam irama pop yang dekat di hati generasi muda.

    Menurut Wani, mesej lagu ini sangat dekat dengan pengalaman peribadi dan kehidupan ramai pasangan muda. “Zaman sekarang ramai yang nak kahwin tapi belum cukup duit – jadi lagu ini adalah cara saya nak sampaikan mesej bahawa cinta tak semestinya mahal, yang penting keikhlasan,” katanya yang turut menggambarkan “Cak Cak Cekuk” sebagai sebuah karya yang membawa “vibe ceria tapi penuh makna.”

    Dengan gaya persembahan yang ringan dan beremosi, lagu ini menggambarkan cabaran golongan muda untuk mendirikan rumah tangga, namun dalam nada yang menghiburkan. Susunan muzik yang dinamik digabungkan dengan lirik puitis menjadikan “Cak Cak Cekuk” sesuai untuk dinikmati oleh semua peringkat usia – lebih-lebih lagi dalam acara cinta seperti majlis perkahwinan, bridal shower atau malam berinai.

    “Lagu ini adalah satu bentuk penghargaan saya kepada budaya kita. Saya mahu generasi muda bangga menyanyikan lagu-lagu seperti ini – moden, catchy, tapi ada jiwa,” kata Wani yang juga tidak sabar untuk mempersembahkan lagu ini secara langsung kepada peminat.

    Wani turut berkongsi bahawa bait lagu seperti “Perlahan dayung sampai hujung” mencerminkan semangatnya dalam mengejar impian dan berharap ia akan memberi motivasi kepada pendengar. “Kita semua pernah merasa sukar untuk capai sesuatu. Tetapi kalau hati cekal dan semangat kekal, kita pasti sampai ke destinasi.”

    “Cak Cak Cekuk” kini boleh distrim di semua platform digital termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music bermula 23 Mei 2025. Nantikan juga muzik video rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, menampilkan visual istimewa penuh warna-warni dan elemen budaya yang menyentuh nostalgia.

    Untuk mengikuti perkembangan terkini Wani Kayrie serta pelancaran eksklusif muzik video “Cak Cak Cekuk”, ikuti saluran rasmi dan media sosial Rocketfuel Entertainment.