Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bersama Kerajaan Negeri Terengganu (KNT) hari ini mencatat satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi memeterai Perjanjian Penyelesaian bagi memperkemas status pemberimilikan ladang komersial di enam daerah utama iaitu Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman. Langkah strategik ini bukan sahaja menyelesaikan isu yang telah berlarutan sekian lama, malah menjadi simbol kesinambungan kerjasama erat yang telah terjalin sejak tahun 1969 melalui Perjanjian-Perjanjian Rancangan Kemajuan Tanah berlandaskan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530]. Penyelesaian ini dijangka memberi impak positif kepada komuniti FELDA secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan hasil ekonomi, memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta menjamin kesejahteraan peneroka dan generasi seterusnya. FELDA turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peranan sebagai pemudah cara utama, selain menghargai komitmen Kerajaan Negeri Terengganu dan semua pihak yang terlibat dalam memuktamadkan perjanjian ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa kerjasama kukuh antara peringkat Persekutuan, Negeri dan agensi berkaitan mampu menghasilkan penyelesaian yang harmoni dan berkesan demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara yang mampan.
Tag: #Sosioekonomi
-
FELDA dan Kerajaan Negeri Terengganu capai persetujuan bersama