Tag: #Polite

  • “Polite” Mencipta Fenomena Baharu, SonaOne dan tlinh Pamer Gaya Lintas Budaya

    “Polite” Mencipta Fenomena Baharu, SonaOne dan tlinh Pamer Gaya Lintas Budaya

    Dunia muzik serantau sekali lagi menjadi saksi kepada gabungan bakat Malaysia dan Vietnam menerusi pelancaran single terbaharu SonaOne berjudul “Polite”. Kali ini, penyanyi rap, penerbit, dan artis serba boleh itu bergandingan dengan bintang pop-rap sensasi Vietnam, tlinh, dalam karya yang membawa sentuhan emosi, kejujuran, dan kehalusan produksi moden. Lagu ini turut melibatkan penulisan bersama SYA dan dihasilkan sepenuhnya oleh SonaOne, memperlihatkan sentuhan kreatif menyeluruh dari artis tersebut.

    “Polite” mengangkat tema kerumitan emosi dalam hubungan yang masih diselubungi perasaan, namun semakin dipisahkan oleh jarak komunikasi yang tidak lagi seindah dulu. Lagu ini bukan sekadar merungkai dilema cinta yang tergantung, tetapi turut menyentuh momen senyap yang lebih kuat daripada kata-kata. Dengan melodi lembut, beat minimalis, dan nuansa atmosferik yang penuh rasa, pendengar dibawa ke ruang refleksi di mana hati berbicara lebih kuat walaupun bibir terkunci.

    tlinh, yang kini menjadi antara figura paling berpengaruh dalam muzik Vietnam, meminjamkan vokal dan energi tersendiri dalam projek ini. Beliau pertama kali mencuri perhatian melalui program Rap Việt sebagai satu-satunya peserta wanita yang mara ke Top 8 musim pertama. Kejayaan demi kejayaan terus diukir termasuk menjadi artis wanita nombor satu Vietnam di Spotify, selain album debutnya ái menerima pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan dalam “Best Asian Albums of 2023” oleh NME. Pengiktirafan sebagai Female Artist/Rapper of the Year di Làn Sóng Xanh 2024 menegaskan posisinya sebagai suara terpenting dalam arus baharu muzik Vietnam.

    Bercerita tentang bagaimana projek ini bermula, SonaOne menjelaskan bahawa “Polite” sebenarnya sudah tercipta sejak tahun 2020. Demo awal bersama penyanyi-penulis lagu Malaysia, SYA, terhasil sewaktu tempoh lockdown. Namun, arah kreatif lagu ini hanya menemui titik jelas selepas pasukan A&R Def Jam Malaysia mengusulkan kerjasama dengan tlinh. Beberapa perjalanan ke Ho Chi Minh City akhirnya merealisasikan kolaborasi yang kini disempurnakan dalam versi rasmi “Polite”.

    tlinh pula melihat lagu ini sebagai ruang bereksperimen yang merangkul emosi tulus. Baginya, melodi yang mudah diingati dan beat yang menarik membuatkan proses penciptaan berjalan secara natural dan intuitif. Beliau turut menyifatkan SonaOne sebagai rakan kerjasama yang menyokong dan mudah untuk bekerja, menjadikan proses kreatif lebih menyeronokkan dan organik.

    Selain bersatu dari segi vokal dan penulisan, kedua-dua artis turut merakam video muzik “Polite” di Ho Chi Minh City, menjadikan ia projek visual pertama SonaOne di Vietnam. Dengan latar kota yang hidup dan beremosi, video muzik ini mempersembahkan dualiti yang sama seperti lagu tersebut – dekat tetapi jauh, lembut namun sarat makna, penuh harapan tetapi dihimpit keraguan. Pasukan produksi Vietnam turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan naskhah visual yang mencerminkan mood dan sensitiviti karya ini.

    Selepas melalui proses yang panjang dan penuh ketelitian, SonaOne dan tlinh akhirnya bersedia mempersembahkan “Polite” kepada pendengar di seluruh dunia. Lagu ini bukan sekadar karya muzik, tetapi menjadi ruang pengakuan emosi, medium untuk mencari kejujuran dalam diam, dan peringatan bahawa kadangkala perasaan yang tidak terucap mampu menyentuh lebih dalam. Seperti yang diungkapkan SonaOne, jika lagu ini mampu membuat seseorang berasa kurang keseorangan walaupun hanya untuk tiga minit, maka ia sudah mencapai tujuannya.

    “Polite” akan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman pada 4 November 2025, membuka lembaran baharu buat kerjasama muzik Asia yang semakin berkembang dan melangkaui sempadan budaya.