Tag: #PolisEvoWondaFul

  • Polis Evo: Satu Dekad Dominasi Aksi Filem Malaysia

    Polis Evo meraikan ulang tahun ke-10 dengan penuh meriah, menandakan satu dekad francais aksi kepolisan terbitan Astro Shaw yang telah mencipta legasi kukuh dalam industri filem tempatan. Kejayaan tiga buah filem di bawah francais ini menjadi bukti bahawa Polis Evo telah mengangkat standard filem Malaysia melalui kekuatan penceritaan, kualiti visual yang bertaraf antarabangsa, strategi pemasaran kreatif serta kutipan box-office yang mengagumkan.

    Acara sambutan bertajuk Polis Evo Wonda-Ful 10 Tahun yang dikuasakan oleh Kopi WONDA menghimpunkan barisan pelakon daripada ketiga-tiga siri filem. Antara yang hadir termasuk Zizan Razak, Shaheizy Sam, Nora Danish, Hasnul Rahmat, Ayie Hushairy, Fauzi Nawawi, Pablo Amirul, Farali Khan, Ezatty Abdullah, Riz Amin, Iman Corrine, Zulin Aziz, Dato Afdlin Shauki, Jasper Supayah, Dennis Yin dan Ungku Hariz. Turut memeriahkan acara ialah penerbit eksekutif Raja Jastina Raja Arshad, pencetus idea asal Joel Soh, Anwari Ashraf, Kyle Goonting serta para pengarah seperti Syafiq Yusof, Ghaz Abu Bakar dan Andre Chiew. Sokongan juga diberikan oleh TGV Cinemas yang menjadi lokasi rasmi penganjuran.

    Sejak ditayangkan pada 2015, Polis Evo terus mencatat sejarah sebagai satu-satunya francais filem tempatan yang kekal kukuh selama sedekad. Filem pertama berjaya mengutip RM17.8 juta dan muncul sebagai filem nombor satu di Malaysia pada tahun tersebut. Kejayaan itu diteruskan dengan Polis Evo 2 pada 2018 yang mengukuhkan kedudukan francais sebagai sekuel aksi tempatan terlaris dengan kutipan RM22.45 juta. Polis Evo 3 yang ditayangkan pada 2023 sekali lagi mencatat rekod luar biasa dengan kutipan RM54 juta serta tersenarai dalam lima filem tempatan dengan kutipan tertinggi sepanjang masa.

    Sambutan ulang tahun ke-10 bukan sekadar mengimbau kejayaan lalu, tetapi juga membuka lembaran baharu bagi masa depan francais ini. Astro Shaw komited untuk terus memperkasakan Polis Evo dengan perancangan menerbitkan naskhah filem baharu dan siri premium di bawah universe Polis Evo. Francais ini turut mencetuskan revolusi dalam industri dengan strategi pemasaran inovatif sehingga memenangi Gold Award di Appies Malaysia Marketing Congress 2016 serta Anugerah Emas Malaysia di PMAA Dragons Malaysia.

    Selain kejayaan komersial, Polis Evo juga menjadi medan lahirnya bakat baharu dalam industri perfileman Malaysia. Francais ini membuka ruang kepada penulis dan pengarah muda seperti Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf untuk berkembang menjadi nama besar, di samping mengangkat kerjaya ramai pelakon yang kini terus bersinar di layar perak. Watak ikonik seperti Inspektor Khai dan Inspektor Sani telah menjadi sebahagian daripada budaya pop tempatan dan membuktikan keupayaan filem Malaysia mencipta fenomena tersendiri.

    Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, pencapaian 10 tahun Polis Evo adalah hasil sokongan peminat, rakan penerbit, kru produksi, media dan pihak pawagam yang menjadi sebahagian daripada perjalanan francais ini. Beliau turut menekankan bahawa ulang tahun ini bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada babak baharu dengan pelancaran siri premium Evo: Mat Yam yang bakal ditayangkan di Astro Originals.

    Kerjasama dengan Kopi WONDA turut menjadikan sambutan lebih bermakna. Jenama kopi kegemaran ramai itu membuka peluang eksklusif buat peminat untuk menjadi sebahagian daripada legasi Polis Evo melalui pakej istimewa yang ditawarkan. Antara ganjaran yang disediakan termasuk peluang muncul dalam filem seterusnya, akses ke sesi audisi, barangan edisi terhad seperti jaket bomber eksklusif Polis Evo Wonda-Ful 10 Years serta t-shirt istimewa yang boleh didapati di platform Shopee.

    Polis Evo bukan sahaja sebuah francais filem aksi pecah panggung, tetapi juga simbol evolusi sinema Malaysia. Selepas sedekad mencipta rekod, ia kini melangkah ke fasa baharu dengan harapan untuk terus menghiburkan peminat, membina legasi dan mengukuhkan kedudukan sebagai francais ikonik tanah air.