Dunia politik, pengkhianatan dan permainan kuasa menjadi nadi utama filem Konspirasi, karya aksi thriller terbaharu arahan Ghaz Abu Bakar yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026. Menampilkan gabungan elemen aksi, siasatan siber dan konflik politik, filem ini membawa penonton menyelami sebuah naratif penuh debaran yang menguji makna sebenar kepercayaan, integriti dan perjuangan menegakkan kebenaran.
Diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films bersama Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi, Konspirasi menghimpunkan barisan pelakon ternama termasuk Dato’ Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan Esma Daniel. Gabungan pelakon berpengalaman ini memperkukuhkan intensiti penceritaan yang sarat dengan ketegangan, strategi dan konflik berlapis.
Mengangkat genre political thriller dan siasatan siber, filem ini berkisar tentang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerima maklumat sulit mengenai sebuah pelayan rahsia mengandungi senarai ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara. Bagi mengelakkan data sensitif itu jatuh ke tangan pihak berkepentingan, satu operasi sulit berisiko tinggi dilancarkan oleh pasukan elit yang diketuai Adli, dibantu Ily, Dhani dan Maya.
Namun, misi tersebut berubah menjadi krisis besar apabila sebahagian maklumat mula bocor ke media dan laman gelap, sekali gus menggugat kestabilan politik negara. Dalam suasana penuh tekanan, kredibiliti SPRM mula dipersoalkan manakala syak wasangka mengenai kewujudan pengkhianat dari dalam organisasi semakin memuncak. Ketika cuba membongkar dalang sebenar, pasukan operasi itu akhirnya menyedari bahawa mereka sedang terjerumus dalam sebuah konspirasi lebih besar yang melibatkan manipulasi kuasa, serangan siber berskala besar serta ancaman asing yang berpotensi melemahkan negara.
Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, Konspirasi bukan sekadar filem aksi biasa tetapi sebuah gambaran tentang bagaimana kuasa, ketamakan dan pengkhianatan mampu meruntuhkan kepercayaan. Filem ini turut menonjolkan realiti bahawa usaha mempertahankan kebenaran sering hadir bersama tekanan, risiko dan pengorbanan yang tinggi.
Dengan naratif yang pantas, aksi mendebarkan serta tema yang dekat dengan isu semasa, Konspirasi dijangka menjadi antara filem tempatan yang mencuri perhatian tahun ini. Penonton yang menggemari kisah penuh misteri, permainan politik dan konflik berintensiti tinggi pastinya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan filem ini di pawagam bermula 21 Mei 2026. Untuk perkembangan terkini serta kandungan eksklusif, orang ramai boleh mengikuti platform rasmi Primeworks Studios di media sosial.

