Tag: #PanggungPurnama #BilalIndrajaya #MainKasar #ZeppKL2025 #KonsertNusantara #UdaraLaskhar #MuzikHidup #BilalLiveInKL #FestivalMuzik #TiketPurnama

  • Bilal Indrajaya Buka Tirai Panggung Purnama: Fasa 1 ‘Main Kasar’ Di Zepp KL

    Bilal Indrajaya Buka Tirai Panggung Purnama: Fasa 1 ‘Main Kasar’ Di Zepp KL

    Seperti sinar bulan purnama yang menggantung megah di langit malam, begitulah kehadiran Panggung Purnama sebuah pentas muzik eksklusif yang bakal menyatukan pemuzik berbakat dari rantau Nusantara di satu destinasi istimewa: Zepp Kuala Lumpur, pada 28 September 2025.

    Menandakan detik permulaan siri pengumuman bertahap, pihak penganjur, UdaraLaskhar, dengan bangga memperkenalkan penyanyi dan penulis lagu dari Jakarta, Bilal Indrajaya, sebagai ‘Peluru Perdana’ dalam Fasa 1: Main Kasar, menjadikan konsert ini lebih daripada sekadar pertunjukan ia adalah perayaan muzik dan ekspresi rasa.

    Bilal, yang mula dikenali menerusi lagu hit “Biar” pada 2018, bukanlah nama asing di kalangan peminat muzik tanah air. Keunikan suaranya, lirikal yang puitis dan pembawaan muzik penuh emosi menjadikan beliau antara nama yang ditunggu-tunggu untuk hadir ke Malaysia secara rasmi. Telah menjayakan pentas-pentas besar termasuk BNI Java Jazz Festival 2024, kehadirannya ke Kuala Lumpur ibarat ‘bulan’ yang kini menghampiri para peminatnya.

    “Bilal memiliki aura tersendiri. Daripada karya, gaya persembahan sehinggalah hubungan emosinya dengan peminat, kami tahu beliau adalah pilihan tepat untuk membuka tirai Panggung Purnama,” ujar John Labu, wakil rasmi UdaraLaskhar.

    Tambah John lagi, Panggung Purnama bukan sekadar konsert, tetapi satu siri pengalaman dan Fasa 1 hanyalah permulaan. Nama-nama besar lain akan diumumkan menerusi Fasa Kedua dan Fasa Finale dalam waktu terdekat. Para peminat digalakkan untuk mengikuti perkembangan menerusi media sosial rasmi Panggung Purnama bagi mendapatkan maklumat terkini.

    Istimewanya buat peminat Malaysia, Bilal Indrajaya pernah merakam kolaborasi bersama beberapa nama tempatan seperti Noh Salleh menerusi lagu Niscaya serta Romantic Echoes dalam Ruang Kecil dan Yang Tercinta menjadikan kehadirannya ke Zepp KL sebagai suatu pertemuan semula yang ditunggu-tunggu.

    “Bilal bukan sekadar penyanyi, dia adalah pencerita yang membawa bulan ke dalam lagu. Kami yakin beliau akan tinggalkan kesan yang mendalam pada malam itu,” tambah John dalam gaya metafora.

    Sementara itu, Bilal sendiri menyifatkan konsert ini sebagai sesuatu yang peribadi. Pada usia 29 tahun, beliau melihat Panggung Purnama sebagai satu perhentian penting dalam kembaranya sebagai pengkarya seni dan satu pesta yang bakal diraikan bersama peminat.

    “Saya tidak sabar untuk merasai tenaga penonton Malaysia. Kita akan meraikan malam itu seperti festival kecil kita sendiri,” ujar Bilal ringkas dalam satu kenyataan.

    Dengan pelbagai kategori tiket ditawarkan Bintang (RM179), Langit (RM199), Awan (RM249), Bumi (RM239) dan Purnama (RM399) peminat disarankan untuk mendapatkan tempat mereka lebih awal menerusi laman rasmi www.ilassotickets.com. Kehadiran anda bukan sekadar menyokong seni, tetapi juga menjadi sebahagian daripada sejarah muzik serantau.

    Maklumat Acara:
    🎤 Panggung Purnama
    📍 Zepp Kuala Lumpur
    📅 28 September 2025
    🎟️ Tiket: www.ilassotickets.com
    🎧 Penganjur: UdaraLaskhar