Tag: #LetsPlayMalaysia

  • Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! Tawar Keriangan Fantasi Buat Si Cilik

    Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! Tawar Keriangan Fantasi Buat Si Cilik

    Malam penuh warna, muzik dan tarian menjadi pengalaman yang sukar dilupakan apabila Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! menggegarkan pentas Arena of Stars, Resorts World Genting. Penonton dibawa hanyut dalam dunia imaginasi yang dipenuhi watak kesayangan, gelak tawa serta hiburan interaktif yang mengikat kenangan indah buat kanak-kanak dan ibu bapa.

    Persembahan pertama yang berlangsung pada 29 Ogos membuka tirai dengan penuh bertenaga. DJ Disney Junior menguasai pentas dengan irama rancak yang segera membangkitkan suasana ceria. Sorakan gemuruh bergema apabila Mickey Mouse muncul istimewa di hadapan ribuan penonton, menandakan bermulanya malam yang penuh keterujaan.

    Sejak itu, pentas terus meriah dengan pelbagai aksi. Penonton dibawa melalui senarai semak playdate yang menggabungkan nyanyian, tarian, permainan dan belon. Setiap segmen memperkenalkan watak Disney berbeza termasuk Goofy, Ariel the Little Mermaid, SuperKitties dan ramai lagi yang menceriakan suasana. Sorakan paling lantang diberikan kepada Minnie Mouse yang tampil dalam segmen belon, menghidupkan lagi kemeriahan malam penuh magis itu.

    Selepas waktu rehat singkat, dewan kembali bergema dengan keterujaan apabila salah satu kemunculan paling dinantikan akhirnya berlaku. Spider-Man meluncur masuk ke pentas dengan penuh gaya, membuatkan penonton terpukau dan kagum. Adegan itu melengkapkan sesi playdate yang benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat setiap yang hadir.

    Setiap lagu, tarian serta kesan khas yang dipersembahkan berjaya memukau kanak-kanak sehingga terpaku di tempat duduk, sementara ibu bapa turut tidak ketinggalan untuk menyanyi dan bertepuk tangan mengikuti rentak. Keindahan inilah yang menyerlahkan semangat Disney Jr. yang sarat dengan muzik, persahabatan dan pengembaraan.

    Menurut penerbit Jonathan Shank dari Terrapin Station Entertainment, pihaknya amat berbesar hati melihat keluarga di Malaysia dapat merasai sendiri keajaiban Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play!. Beliau menyifatkan suasana di Arena of Stars sangat luar biasa, dengan keterujaan penonton yang menghidupkan lagi persembahan. Katanya, momen yang dicipta dalam acara ini pasti akan menjadi kenangan manis untuk kanak-kanak bertahun-tahun lamanya.

    Dianjurkan oleh Unusual Entertainment dan Lo-Fi Entertainment, persembahan ini adalah sebuah perayaan imaginasi dan penceritaan yang terus membuktikan keabadian magis Disney dalam hati generasi baharu. Disney Jr. Live On Tour: Let’s Play! akan berlangsung sehingga 1 September dengan tiga persembahan setiap hari sebelum menutup tirai dengan persembahan penutup pada Isnin nanti.