Tag: #Laknatt #KisahBenar #SeramPsikologi #FilemMalaysia2025

  • Laknatt: Dosa Terselindung dan Iblis Yang Menjanjikan Mimpi, Menghantui Pawagam Bermula 5 Jun 2025

    Laknatt: Dosa Terselindung dan Iblis Yang Menjanjikan Mimpi, Menghantui Pawagam Bermula 5 Jun 2025

    Sebuah naskhah seram psikologi tempatan bertajuk Laknatt bakal menyingkap sisi gelap manusia yang tersesat dalam jerat iblis apabila ia menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 Jun 2025. Diilhamkan daripada kisah benar, filem ini mendedahkan kebenaran menyayat hati tentang individu yang sanggup mempertaruhkan iman demi memenuhi impian duniawi. Filem arahan pengarah tersohor Saw Teong Hin ini diterbitkan oleh Real Films dengan kerjasama Tutan Entertainment sebagai penerbit bersekutu dan diedarkan oleh D’Ayu Pictures.

    Laknatt membawa penonton menyelami kisah Luth, seorang lelaki yang terperangkap dalam dilema spiritual selepas kehilangan adik perempuannya, Laila. Ketika semangatnya rapuh dan jiwanya terganggu, iblis muncul dalam bentuk yang dikenali, menawarkan peluang untuk ‘menghidupkan’ semula Laila dalam ilusi. Luth mula dihanyutkan ke dunia gelap yang penuh tipu daya, dan dia tidak menyedari bahawa dirinya sedang diperdaya oleh Laqqus, iblis yang licik. Dalam pencarian yang penuh misteri dan penderitaan, Luth akhirnya menyedari kebenaran yang menyayat hati tentang siapa yang benar-benar boleh dipercayai.

    Filem ini menyampaikan mesej mendalam tentang bahaya syirik, amalan khurafat dan kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah SWT. Pengalaman Luth menjadi simbol perjuangan spiritual manusia moden yang mudah terpedaya dalam dunia yang penuh helah dan dugaan. Laknatt mengingatkan penonton bahawa kehidupan ini hanyalah ujian, dan satu-satunya jalan penyelamat ialah dengan kembali kepada Tuhan.

    Saw Teong Hin, pengarah prolifik yang telah berkarya lebih 39 tahun dalam industri seni, sekali lagi mengetengahkan keupayaannya dalam menterjemahkan emosi dan kepercayaan ke layar perak. Dikenali dengan gaya pengarahan yang penuh seni dan jalan cerita yang menyentuh jiwa, Saw membuktikan bahawa kisah spiritual mampu digarap secara mendalam dan menggugah kesedaran masyarakat.

    Sebagai sebahagian daripada kempen promosi, filem ini digerakkan melalui pendekatan unik seperti konvoi e-hailing dengan stiker khas, edaran 5,000 sampul raya eksklusif yang dilengkapi kod QR, serta siri jelajah promosi di pelbagai lokasi utama. Pendekatan ini bertujuan menyemarakkan kesedaran penonton terhadap tema dan mesej filem ini.

    Filem Laknatt bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 5 Jun 2025. Ia menjanjikan pengalaman seram yang bukan sahaja menyeramkan dari segi visual, tetapi turut menggugat keinsafan dan kesedaran spiritual penonton.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Laknatt, ikuti saluran media sosial rasmi D’Ayu Pictures di Instagram (@d.ayupictures), TikTok (D Ayu Pictures) dan Facebook (D Ayu Pictures).

    Filem ini diterbitkan oleh Real Films, dengan Tutan Entertainment sebagai penerbit bersekutu, dan diedarkan secara rasmi oleh D’Ayu Pictures. Saksikan Laknatt dan hayati sendiri kisah yang membuka mata tentang kegelapan yang sering bersembunyi dalam terang.