Tag: #KotaKinabaluEvents

  • Ari Lesmana Umum Konsert Solo “Mangu Di Bawah Bayu” di Sabah, 6 Februari 2026

    Ari Lesmana Umum Konsert Solo “Mangu Di Bawah Bayu” di Sabah, 6 Februari 2026

    Penyanyi dan penulis lagu terkenal Indonesia, Ari Lesmana, bakal membuat penampilan solo pertamanya di Sabah menerusi konsert “Mangu Di Bawah Bayu” yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. Konsert ini sekali gus menjadi platform eksklusif buat peminat di Borneo untuk menyaksikan Ari Lesmana dalam sebuah persembahan berskala penuh yang menampilkan identiti muzik dan penceritaan emosinya.

    Sebagai vokalis kumpulan Fourtwnty, Ari Lesmana dikenali menerusi karya-karya yang dekat dengan perasaan, menyentuh isu kehidupan dan sarat dengan kejujuran. Menerusi “Mangu Di Bawah Bayu”, beliau mengetengahkan konsep ketenangan dan refleksi diri yang diterjemahkan melalui susunan lagu, visual serta pengalaman persembahan yang dirangka khas untuk malam tersebut.

    Konsert ini dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment sebagai sebahagian daripada usaha membawa lebih banyak persembahan muzik berkualiti tinggi ke Sabah. Pihak penganjur menyifatkan penganjuran konsert ini sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh landskap hiburan tempatan, khususnya dengan memperkenalkan pengalaman konsert yang menitikberatkan kualiti produksi dan keselesaan penonton.

    Selain persembahan utama Ari Lesmana, konsert ini turut menampilkan kolaborasi bersama DJ Firza dan Millvrd yang dijangka memberikan sentuhan muzik kontemporari serta susunan yang lebih dinamik. Gabungan ini dijangka mampu memperkayakan pengalaman muzik penonton, selain memberikan kelainan kepada persembahan konsert solo tersebut.

    Ari Lesmana turut menyatakan keterujaannya untuk kembali bertemu peminat di Sabah dan menyifatkan negeri itu sebagai memiliki keunikan serta energi tersendiri yang sangat serasi dengan konsep “Mangu”. Beliau berharap konsert ini dapat menjadi ruang pertemuan yang lebih dekat antara dirinya dan peminat, di samping berkongsi emosi dan perjalanan muzik melalui lagu-lagu yang dipersembahkan.

    Tiket bagi konsert “Mangu Di Bawah Bayu” telah mula dijual sejak 22 Disember 2025 dengan harga RM377 untuk kategori VIP dan RM177 bagi Festival Standing, tidak termasuk caj pemprosesan. Kemudahan pembayaran ansuran turut ditawarkan melalui SPayLater, PayLater by Grab dan Atome, manakala pembelian tiket boleh dilakukan secara dalam talian menerusi www.myticketempire.com.