Tag: #Judika

  • Konsert ‘The Journey of Sound’ Kolaborasi Penghibur Dua Negara

    Konsert ‘The Journey of Sound’ Kolaborasi Penghibur Dua Negara

    Dua ikon dunia hiburan dari negara serumpun, Malaysia dan Indonesia, bakal mencipta sejarah dengan kolaborasi yang dinanti-nantikan oleh peminat muzik di seluruh Nusantara. Dato Sri Siti Nurhaliza, Biduanita Negara, dan Judika, penyanyi berbakat dengan vokal mantap dari Indonesia, akan bergabung di pentas dalam konsert megah yang bertajuk “The Journey of Sound”.

    Konsert ini akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, pada 14 Disember 2024, dan menjanjikan satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

    Kedua-dua figura hebat ini telah berkecimpung dalam industri muzik selama lebih 20 tahun, mencipta pelbagai lagu yang mengharukan hati ramai. Siti Nurhaliza, yang telah memukau peminat dengan keindahan suara dan bakatnya, telah menjadi simbol kejayaan dalam industri muzik Malaysia. Dengan 28 tahun pengalaman, beliau telah mencatat pelbagai pencapaian dan anugerah, membawa nama Malaysia ke persada dunia. Begitu juga dengan Judika, yang bernama penuh Judika Nalon Abadi Sihotang, telah membina kerjaya muzik yang cemerlang di Indonesia selama 20 tahun. Keberaniannya dalam mengeksplorasi pelbagai genre muzik menjadikannya seorang penyanyi yang dihormati dan disukai ramai.

    Penganjur konsert, Universe Gateway, dengan penuh bangga mempersembahkan kolaborasi pertama antara Siti Nurhaliza dan Judika. “Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati untuk menganjurkan The Journey of Sound, yang menyatukan dua figura hebat dunia hiburan Nusantara di pentas yang berprestij ini,” ujar Isa, Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateway. Beliau menjelaskan bahawa walaupun peminat mungkin pernah melihat kedua-dua penyanyi ini berduet sebelum ini, konsert kali ini akan menyajikan persembahan yang lebih luar biasa dan memukau. “The Journey of Sound bukan sahaja akan menjadi konsert mega, tetapi juga satu perayaan yang mengukuhkan silaturahim antara peminat muzik dari dua negara,” tambah Isa.

    Konsert ini diharapkan menjadi satu penutup tahun yang gemilang bagi peminat muzik. Dengan tema “The Journey of Sound,” konsert ini merujuk kepada perjalanan seni kedua-dua penyanyi yang telah mengalami pelbagai liku-liku dalam karier mereka. Di pentas ini, penonton akan disajikan dengan persembahan yang menggambarkan warna-warni perjalanan seni mereka, dengan muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika di persada muzik.

    Judika, dalam satu kenyataan, melahirkan rasa teruja dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan Siti Nurhaliza. “Tiada alasan untuk saya menolak peluang ini. Berkolaborasi dengan Dato Sri Siti Nurhaliza dalam konsert ini adalah satu penghormatan besar bagi saya. Saya berjanji kepada peminat bahawa anda akan menikmati pengalaman luar biasa di The Journey of Sound. Ia bukan hanya tentang kami, tetapi juga tentang bagaimana keseluruhan produksi konsert ini akan menyajikan sesuatu yang spektakular untuk ditonton,” kata Judika penuh semangat.

    Bagi para peminat yang ingin menyaksikan konsert ini secara langsung, jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tiket. Harga tiket dibuka dari RM 199 untuk kategori CAT 5, RM 299 untuk CAT 4, RM 399 untuk CAT 3 LOWER dan UPPER, dan seterusnya sehingga RM 1,299 untuk kategori SUPER VIP. Terdapat juga kategori premium seperti VIP ROYAL BOX dan ROCK ZONE yang menawarkan pengalaman menonton yang lebih eksklusif.

    Konsert The Journey of Sound

    Penjualan tiket akan dibuka mulai 12 Oktober 2024, dengan pembelian EARLY BIRD berlangsung dari minggu pertama hingga ketiga. Ini memberi peluang kepada peminat untuk mendapatkan tiket pada harga istimewa. Semua kategori tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web TICKET2U.COM.MY.

    Konsert “The Journey of Sound” bukan sahaja satu acara muzik tetapi juga merupakan simbol persahabatan antara dua negara yang berkongsi budaya dan seni yang kaya. Jadi, untuk semua peminat Siti Nurhaliza dan Judika, jangan terlepas untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman luar biasa ini yang pasti akan menjadi kenangan indah dan momen bersejarah dalam dunia hiburan Nusantara!

    INFORMASI

    ACARA: THE JOURNEY OF SOUND

    ARTIS: DATO SRI SITI NURHALIZA & JUDIKA

    LOKASI: STADIUM MERDEKA

    TARIKH: 14 DISEMBER 2024

    MASA: 8 MALAM

    PENGANJUR: UNIVERSE GATEAWAY

    HARGA TIKET: RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER / UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP)

    PEMBELIAN: TICKET2U.COM.MY

  • Kemeriahan ‘ROCKMANTIC NIGHT’ Memikat Hati Penonton Malaysia.

    KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2023 – Malam semalam menyaksikan hampir 12,000 orang penonton menghadiri konsert ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG’. Konsert ini berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 8:00 malam dan dianjurkan oleh syarikat penganjur acara terkenal dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management. Kehadiran yang besar ini menyemarakkan acara tersebut.

    “Saya ingin menyanyi habis-habisan kerana semangat ‘cinta’ yang diberikan oleh pembeli-pembeli tiket bukan sahaja dari Malaysia, bahkan juga Indonesia, Singapura serta Brunei agar dapat menghiburkan mereka semua sebaik dan juga semaksimal yang mungkin,” kata pemilik nama Judika Nalom Abadi Sihotang, 45.

    Selain Judika, bintang-bintang popular Malaysia seperti Marsha Milan, Haqiem Rusli dan Shila Amzah serta artis-artis tamu dari Indonesia naungan DAD Management seperti Dnanda, Daniel Pattinama dan Dr. Axin turut menyerikan konsert pada malam tadi sebagai pembuka acara dengan menerima sorakan yang tidak kurang hebatnya.

    Momen yang ditunggu-tunggu bermula apabila Judika muncul di tengah-tengah pentas dengan menaiki motor berkuasa besar melaungkan lagu Bukan Rayuan Gombal lantas menerima sorakan paling gemuruh menggamatkan seluruh ruang Axiata Arena.

    Di antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam tadi adalah Sampai Kau Jadi Milikku, Kisah Yang Ku Inginkan (duet bersama Shila Amzah), Putus Atau Terus, Jikalau Kau Cinta, Cinta Karena Cinta dan lain-lain.

    Istimewanya, konsert malam semalam merupakan sebuah ‘family affair’ dimana Judika membawa keseluruhan ahli keluarganya untuk turut serta terlibat dalam konsert tersebut, seluruh arena menyanyikan lagu ‘happy birthday’ buat anak Judika yang baharu sahaja menyambut hari jadinya beberapa hari yang lepas.

    Selain menyanyikan lagu-lagu hitsnya, Judika turut menyanyikan lagu Sejati oleh kumpulan Wings dan konsert bertambah gamat apabila Judika menyanyikan lagu Cindai yang dipopularkan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan rendisinya yang tersendiri diiringi penari latar tradisional memeriahkan suasana ibarat sebuah festival kesenian.

    “Sebetulnya, saya sudah mempersiapkan diri selama tiga hari berturut-turut sewaktu latihan kerana mahu memberikan yang terbaik untuk semua dan hasilnya semua yang hadir sangat gembira dan merasa ‘cinta’ yang saya tonjolkan pada malam ini, lebih istimewa kerana keluarga juga berpeluang melihat sendiri konsert sebesar ini yang pertama di Malaysia dan ia merupakaan kebangaan buat saya.

    “Terima kasih sesungguhnya buat penonton yang hadir, ‘team’ yang terlibat, artis-artis undangan dari Malaysia dan juga Indonesia, serta kepada para penaja yang menjayakan konsert pada malam ini,” akhiri Judika.

  • DEBARAN MALAM KONSERT ‘ROCKMANTIC NIGHT’ – JUDIKA & THE GENG’ KIAN TERASA!

    Rakyat Malaysia, sudahkah anda bersedia? Konsert fenomena ‘ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG’ dengan penyanyi hebat dari Indonesia, Judika, akan memberikan penampilan yang dinantikan. Acara ini akan menampilkan barisan artis popular tempatan seperti Haqiem Rusli, Marsha Milan, dan Shila Amzah. Jangan lepaskan peluang menyaksikan mereka pada 21 Oktober 2023, bermula jam 8:00 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Konsert ini turut dipersembahkan oleh jenama kosmetik eksklusif dan terkemuka, Alha Alfa, dan dianjurkan oleh syarikat penganjur terkemuka dari Indonesia, Dua Anak Deo (DAD) Management, serta penganjur bersama, Kharisma Music International. Pastikan anda hadir!

    Jurucakap DAD, selaku label rakaman muzik dan pengurusan artis yang diasaskan pada tahun 2018 oleh Judika sendiri bersama sang isteri, Duma Riris memberitahu kepada semua, “Persiapan Judika menjelang hari konsert hampir 100% kesemuanya termasuk latihan persembahan bersama para pemuzik profesional dan band iringan, perancang grafik, susunan muzik, dan lain-lain persiapan.

    “Judika tidak sabar untuk memberikan yang terbaik buat semua yang hadir pada malam konsert nanti dan menghasilkan sebuah persembahan romantis yang bakal menjadi kenangan manis buat semua yang menontonnya.

    “Di antara lagu-lagu ‘sing-along’ yang wajib dihafal oleh semua yang membeli tiket adalah Cinta Karna Cinta, Bukan Rayuan Gombal, Jikalau Kau Cinta, Putus Atau Terus dan juga Sampai Kau Jadi Milikku.

    “Dapatkan segera tiket konsert yang masih ada seperti Normal Standing secara atas talian di www.ticket2u.com.my/judika, manakala tiket-tiket lain seperti Gold, Silver, VIP Standing, VIP dan Platinum telah ‘sold-out’.

    Sebagai makluman, pemilik nama sebenar Judika Nalom Abadi Sihotang ini memilih tema ‘Rockmantic’ yang merupakan gabungan perkataan ‘rock’ dan ‘romantic’ yang terinspirasi dari karakter Judika sendiri yang memiliki jiwa rock, namun di satu sisi yang lain pula, merupakan seorang yang penyayang dan pencinta terhadap keluarganya, pasangannya dan sering menghasilkan karya-karya berbaur romantis.

    Dianggarkan sekitar lebih dari 15 buah lagu yang bakal dipersembahkan oleh Judika pada malam konsert nanti dengan durasi kurang lebih 2 jam di bawah pimpinan pengarah muzik tersohor Indonesia, Tohpati.

    Pihak pengurusan DAD dan Kharimsa Music International ingin mengucapkan ucapan ribuan terima kasih buat rakan-rakan penganjur seperti Alha Alfa, Pavilion Kuala Lumpur dan Pavilion Bukit Jalil, rakan hotel rasmi, Le Meridien Petaling Jaya, dan juga rakan radio rasmi, ERA.

    Pesan Judika, “Saya ingin semua peminat yang  akan hadir ke konsert saya nanti bukan hanya dapat melihat dan mendengar, tetapi juga dapat merasakan dan tidak akan melupakan. Datanglah dengan jiwa seorang ‘rocker’ yang berani dan penuh semangat tetapi jangan lupa memiliki hati yang penuh cinta kerana dengan cinta membuat kita rasa bersemangat.

    “Semoga konsert ROCKMANTIC NIGHT – JUDIKA & THE GANG ini menjadi salah salah satu pengalaman yang tidak akan anda dilupakan, ‘it’s a night to remember’.

    “Jumpa anda di sana!