Tag: #HektarREIT #GoGreen #TenagaHijau

  • HEKTAR REIT MANTAPKAN ARAH STRATEGIK PADA AGM KE-13, TEKANKAN DIVERSIFIKASI ASET, KEMAJUAN HIJAU & PENCAPAIAN PASARAN MODAL

    HEKTAR REIT MANTAPKAN ARAH STRATEGIK PADA AGM KE-13, TEKANKAN DIVERSIFIKASI ASET, KEMAJUAN HIJAU & PENCAPAIAN PASARAN MODAL

    Hektar Asset Management Sdn. Bhd., selaku Pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), telah berjaya memuktamadkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-13 yang berlangsung di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur. Para pemegang unit sebulat suara menerima Laporan Tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, yang mengetengahkan prestasi kewangan kukuh, kemajuan ESG, dan hala tuju strategik baharu kumpulan.

    Tahun 2024 menjadi titik transformasi penting buat Hektar REIT apabila mula melangkah ke luar sektor runcit, menerusi pemerolehan dan pajakan balik hartanah berkaitan pendidikan. Inisiatif ini menandakan kemasukan pertama ke dalam segmen bukan runcit, seterusnya membuka ruang kepada pengembangan ke sektor perindustrian pada 2025. Usaha ini mencerminkan strategi jangka panjang untuk memperluas aliran pendapatan serta meningkatkan daya tahan portfolio pelaburan.

    Sebagai pelengkap kepada strategi pertumbuhan, Hektar REIT berjaya menerbitkan tranche pertama Nota Jangka Sederhana (MTN) bernilai RM215 juta, di bawah program RM500 juta. Terbitan ini mendapat jaminan daripada Credit Guarantee and Investment Facility (CGIF) – sebuah dana amanah di bawah Bank Pembangunan Asia – sekali gus membolehkan akses kepada pembiayaan yang lebih cekap dan mapan.

    Seiring komitmen terhadap kelestarian, Hektar REIT turut mengumumkan kolaborasi strategik bersama Samaiden Group Berhad untuk pemasangan sistem solar di lima pusat beli-belah miliknya. Inisiatif tenaga boleh diperbaharui ini dijangka menjimatkan kos tenaga tahunan sekitar RM2.05 juta, atau RM41.3 juta dalam tempoh dua dekad. Ia juga berpotensi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 98,640 tan metrik bersamaan dengan menanam lebih 1.97 juta pokok dalam tempoh 20 tahun.

    Dalam usaha mempertingkatkan nilai aset, Hektar REIT telah memulakan kerja-kerja Fasa 1 Inisiatif Peningkatan Aset (AEI) di Subang Parade. Kerja dalaman ini dijadualkan siap menjelang separuh pertama 2026 dan dijangka meningkatkan pengalaman pelanggan, nilai penyewa, serta prestasi aset jangka panjang.

    Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management, Zainal Iskandar, berkata, “Kami menghormati suara dan mandat yang diberikan oleh para pemegang unit. Tahun kewangan 2024 merupakan tempoh transformatif bagi kami daripada meneroka kelas aset baharu kepada pengoptimuman kos dan penambahbaikan strategi pengurusan modal. Kami sentiasa telus dan mengambil kira setiap pandangan dalam menetapkan arah masa depan.”

    Beliau menambah bahawa pihaknya kini sedang giat menyemak semula pelan strategik dan operasi bagi memastikan portfolio yang lebih berdaya tahan dengan pendapatan berulang yang mampan. Fokus utama kekal untuk memperkukuh prestasi aset, mengoptimumkan campuran penyewa, serta meningkatkan nilai kepada pemegang unit secara berterusan.

    “Keutamaan kami tidak berubah iaitu memastikan agihan yang mampan, meningkatkan kualiti aset, dan memperkukuh integrasi ESG dalam setiap lapisan operasi kami. Dengan pendekatan sedia masa hadapan, kami yakin bahawa Hektar REIT berada di landasan kukuh untuk terus berkembang sebagai REIT yang lebih pelbagai, mampan dan berdaya saing,” ujar beliau.

    Hektar REIT akan terus melangkah ke hadapan dengan strategi aset terpelbagai, struktur modal kukuh dan inisiatif hijau untuk memberi pulangan jangka panjang kepada pemegang unit sambil memperkukuh komuniti dinamik yang lestari di seluruh negara.