Tag: \#GayongTheMovie #FilemAksiWarisan #BetoKusyairy #SilatGayong #LegasiADMAR #FaisalIshak #YayanRuhian #FilemMelayu2025 #WarisanMelayu #8MeiDiPawagam

  • GAYONG – Kisah Legenda Pendekar Melayu Ke Pawagam 8 Mei 2025

    GAYONG – Kisah Legenda Pendekar Melayu Ke Pawagam 8 Mei 2025

    Sebuah karya yang mengangkat warisan budaya dan semangat kepahlawanan Melayu bakal menggegarkan layar perak! Filem Gayong, diinspirasikan daripada kisah benar pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei 2025.

    Selepas majlis pelancarannya yang mencuri perhatian pada September tahun lalu, Gayong terus mencetus keterujaan. Dibintangi pelakon hebat Beto Kusyairy sebagai ADMAR, filem ini turut menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan bintang aksi antarabangsa Yayan Ruhian.

    Filem arahan Faisal Ishak ini bukan sekadar naskhah aksi semata-mata, sebaliknya sebuah karya yang mendalami perjuangan, falsafah, dan keteguhan jiwa seorang tokoh persilatan. “Saya mahu penonton merasai bukan sahaja kehebatan aksi, tetapi juga ruh dan semangat perjuangan seorang legenda dalam mempertahankan warisan bangsa,” ujar Faisal.

    Menghidupkan kembali kisah tokoh sehebat ADMAR bukan satu tugas mudah. Bagi Faisal, cabaran paling besar adalah memastikan setiap elemen dalam filem ini kekal asli dan menghormati sejarah. “ADMAR bukan sekadar pendekar, tetapi guru yang membawa nilai murni dan prinsip kehidupan dalam setiap jurusnya,” katanya.

    Untuk merealisasikan visi itu, para pelakon menjalani latihan intensif bersama koreografer aksi tersohor, Yayan Ruhian, serta jurulatih-jurulatih Silat Gayong. “Latihan bukan semata-mata mempelajari gerak, tetapi menyerap semangat Gayong itu sendiri – keberanian, disiplin, dan jati diri,” jelas Faisal.

    Bagi Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, filem ini adalah sebuah penghormatan kepada warisan silat tanah air. Sejak Disember 2023, mereka telah menjalankan kajian mendalam dan mendapat restu daripada keluarga ADMAR sendiri, termasuk anak beliau Hajah Fadzilah dan cucunya Zubaidah Hussin.

    “Kami juga menerima sokongan penuh daripada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) yang memberi panduan sepanjang proses produksi,” katanya. Wakil-wakil PSSGM turut hadir ke lokasi penggambaran bagi memastikan setiap aksi silat dalam filem ini autentik dan sejajar dengan seni asal Gayong.

    Khairul mengakui mereka bersaing dengan banyak filem hebat pada bulan yang sama, namun tetap yakin dengan kekuatan unik Gayong. “Kami mahu penonton membuka mata terhadap sejarah dan tokoh tempatan yang telah mengangkat martabat bangsa. Gayong adalah kisah kita, dan sudah sampai masanya ia ditonton oleh generasi hari ini,” ujarnya.

    Filem Gayong adalah gabungan aksi, warisan dan semangat juang yang mendalam – menjadikannya sebuah naskhah yang wajib ditonton. Saksikan legenda ini hidup kembali di pawagam bermula 8 Mei 2025.