Tag: #FitriFarok

  • Di Bawah Langit Seoul, Cinta yang Hilang Kembali Menyapa Takdir

    Di Bawah Langit Seoul, Cinta yang Hilang Kembali Menyapa Takdir

    Di kota Seoul yang menjadi saksi berjuta kisah cinta, dua hati bertemu dalam takdir yang tidak pernah mereka bayangkan. Bila rahsia mula terbuka, adakah dua jiwa itu masih seindah seperti yang mereka percaya? Drama baharu slot Akasia TV3, Seoul Cinta, hadir dengan kisah cinta moden yang penuh emosi, rahsia dan realiti kehidupan masa kini. Menggambarkan dunia yang tampak sempurna di luar, drama ini membuka sisi lain kehidupan yang dipenuhi dilema, pengorbanan dan pencarian makna cinta sejati.

    Drama romantik ini terdiri daripada 13 episod penuh emosi, dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Fitri Farok, Siti Khadijah Halim, Cahaya Nilam dan Muaz Zabir. Setiap episod membawa penonton menyelami perjalanan dua hati yang terperangkap antara cinta, rahsia dan pilihan hidup yang sukar. Seoul Cinta akan mula bersiaran pada 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau melalui aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

    Fitri Farok memegang watak Daniel Khalil, seorang usahawan muda yang berjaya, berkarisma dan berprinsip tinggi dalam soal cinta. Di sebalik kejayaannya, Daniel mencari pasangan yang dianggap sempurna untuk melengkapi hidupnya. Dalam diam, dia menjadi pengikut setia seorang pempengaruh masakan terkenal bernama Kiki, tanpa menyedari bahawa wanita yang sering menginspirasikannya itu sebenarnya adalah Azra gadis sederhana yang bekerja di sebuah hotel kucing dan juga penjaga kepada kucing kesayangannya.

    Azra, yang dilakonkan oleh Siti Khadijah Halim, menyembunyikan identitinya sebagai Kiki kerana rasa rendah diri dan takut dianggap tidak cukup sempurna di mata Daniel. Namun, perjalanan mereka mula berubah apabila Daniel menjalin hubungan dengan Raisha, selebriti glamor lakonan Cahaya Nilam, sementara Azra pula ditekan untuk menerima pinangan Lukman, watak lakonan Muaz Zabir, yang sudah lama menaruh perasaan terhadapnya. Pertemuan dan perjalanan mereka ke kota Seoul membuka lembaran baharu dalam hidup masing-masing, menyingkap rahsia yang selama ini disembunyikan dan menguji sejauh mana mereka berani memperjuangkan cinta sejati.

    Menurut Fitri Farok, watak Daniel Khalil mewakili ramai individu moden yang tampak berjaya di luar, namun masih mencari makna dan ketenangan dalam diri. Katanya, cinta sejati bukan tentang kesempurnaan atau status, tetapi tentang kejujuran, penerimaan, dan keberanian untuk mencintai diri serta orang lain apa adanya.

    Seoul Cinta membawa penonton menghayati kisah cinta yang menyentuh jiwa dengan sinematografi memukau berlatarkan keindahan kota Seoul yang romantik. Setiap episod menjanjikan detik-detik manis, menghibur dan penuh pengajaran tentang cinta, kejujuran serta erti kebahagiaan sebenar.

    Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Seoul Cinta bermula 31 Oktober 2025, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam di slot Akasia TV3. Penonton juga boleh menonton episod baharu lebih awal di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton. Untuk maklumat terkini mengenai drama-drama menarik di TV3, ikuti laman sosial rasmi Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia serta akaun Instagram @dramasangat.