Dua bintang serumpun bersatu di Singapura, Ernie Zakri dan Anggi Marito, mempersembahkan lagu baharu bersama dalam sebuah kolaborasi penuh emosi. Bintang vokal dari Indonesia, Anggi Marito, membuat penampilan istimewa di Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung pada 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp, Singapura. Ini merupakan kali pertama Ernie Zakri dan Anggi Marito mempersembahkan lagu “Kisah Penuh Kecewa” secara langsung.
Susulan itu, Anggi Marito hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagu “Kisah Penuh Kecewa” dan akan mengadakan sesi makan malam eksklusif bersama peminat di Hameediyah Bukit Bintang pada 4 Jun 2025. Dalam suasana yang intim dan mesra, para peminat berpeluang menikmati pengalaman fine dining bersama Anggi Marito dan Ernie Zakri. Malam istimewa ini memberi peluang kepada peminat merasai suasana makan malam yang unik dan penuh makna bersama artis kesayangan mereka. Ucapan terima kasih istimewa ditujukan kepada Hameediyah atas layanan yang luar biasa dan penyediaan lokasi yang begitu sempurna.
Gabungan kekuatan vokal dan emosi mendalam daripada kedua-dua penyanyi hebat ini menjadikan lagu “Kisah Penuh Kecewa” sebagai sebuah karya yang menyentuh hati pendengar di Malaysia dan Indonesia, serta peminat muzik serantau yang menghargai lagu-lagu bernuansa emosi dan berjiwa.
Ernie Zakri, pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-39 (AJL 39), berkata bahawa lagu ini menceritakan kisah cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan sudah memilih untuk tidak bersama lagi. Namun begitu, di sebalik kekecewaan tersebut, wujud kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan.

“Lagu ‘Kisah Penuh Kecewa’ ini adalah sebuah lagu yang sedih, mengenai cinta yang tidak menjadi kenyataan kerana pasangan sudah tidak mahu meneruskan hubungan. Tapi di penghujungnya, lagu ini membawa kekuatan yang mana lelaki atau wanita itu tetap tabah untuk menghadapi segala cabaran,” kata Ernie.
Menurut Ernie, walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara dia dan Anggi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan. Gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan “Kisah Penuh Kecewa” sebuah lagu balada yang bukan sahaja menyentuh hati, malah memberikan ruang untuk pendengar merasai sendiri perjalanan perpisahan yang pedih, namun penuh kekuatan.
Siaran media turut memetik Ernie yang berkata, “Lagu ini sangat ‘straightforward’ dari segi liriknya. Saya rasa ramai pendengar akan mudah faham dan boleh kaitkan dengan mesej lagu ini. Saya cuma harap mereka dapat menikmati lagu ini, dan kalau pernah melalui pengalaman sama, mungkin lagu ini boleh jadi peneman.”
Bagi Anggi Marito yang juga pemenang tempat ketiga program Indonesian Idol musim 11, peluang untuk berkolaborasi dengan Ernie Zakri adalah satu penghormatan yang amat besar. Sebagai peminat Ernie, Anggi menyifatkan penyanyi lagu Aura itu sebagai seorang yang bukan sahaja mempunyai vokal hebat, tetapi juga mampu menyampaikan rasa dengan begitu menyentuh.
“Saya sudah lama mengenali nama Ernie dan mengagumi suaranya yang begitu indah. Dia punya ‘power’ dan ‘feel’ yang sangat dalam. Setiap lagu yang dia nyanyikan terasa langsung ke hati. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya,” ujar Anggi dengan penuh teruja.
Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 23 Mei 2025. Video muzik rasmi yang membawa naratif visual selari dengan kekuatan vokal dua penyanyi hebat ini turut boleh disaksikan oleh peminat.
