Tag: #EjenAliTheMovie2 #MisiBanterasSpoiler #EATM2 #JagaCerita #SapotLokal #SaluteAnimatorTempatan #LetsPlay #AniMY

  • “Misi: Banteras Spoiler” Dilancar! Ejen Ali The Movie 2 Umum Perang Terhadap Bocoran Cerita & Rakaman Haram

    “Misi: Banteras Spoiler” Dilancar! Ejen Ali The Movie 2 Umum Perang Terhadap Bocoran Cerita & Rakaman Haram

    Di sebalik sambutan luar biasa terhadap Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) yang sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara, muncul pula satu ancaman yang boleh menjejaskan pengalaman menonton ramai peminat setia – penyebaran spoiler dan rakaman tanpa kebenaran di media sosial.

    Fenomena ini mula dikesan sejak minggu pertama tayangan apabila beberapa pihak tidak bertanggungjawab memuat naik sedutan video serta pendedahan jalan cerita yang penting secara terbuka. Tindakan ini bukan sahaja mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan penonton yang belum berpeluang ke pawagam, malah turut melanggar etika tontonan serta hak cipta penerbitan filem tempatan.

    Sebagai tindak balas, pihak produksi Ejen Ali telah melancarkan inisiatif “Misi: Banteras Spoiler”, satu kempen digital yang menyeru semua peminat, atau lebih dikenali sebagai Ejens, untuk bekerjasama membanteras penyebaran kandungan tidak sah berkaitan filem ini. Menerusi misi ini, orang ramai digalakkan untuk melaporkan sebarang bentuk spoiler atau video rakaman haram yang dikesan di mana-mana platform digital.

    “Cerita yang kami hasilkan penuh dengan kejutan, emosi dan pengembaraan yang lebih besar dari sebelum ini. Kami mahu setiap penonton menikmati pengalaman itu tanpa gangguan atau bocoran awal. Justeru, kami amat menghargai kerjasama semua pihak untuk memastikan filem ini terus menjadi kenangan yang tulen dan bermakna,” ujar Usamah Zaid Yasin, Pengarah EATM2.

    Selain laporan kepada pihak media sosial, produksi juga sedang bekerjasama dengan pihak penguat kuasa serta pawagam tempatan untuk memperketat pemantauan terhadap perakam tidak sah di dalam panggung. Langkah ini diambil demi melindungi integriti karya serta hak semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem ini.

    Peminat yang ingin menyokong kempen ini boleh memuat naik poster rasmi “Misi: Banteras Spoiler” di akaun media sosial masing-masing, lengkap dengan kapsyen menyeru komuniti untuk menghormati pengalaman menonton yang adil dan menyeronokkan bagi semua.

    Ejen Ali The Movie 2 kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan jadi penyebar spoiler jadilah ejen yang menjaga rahsia!