Treler rasmi kedua akhirnya mendedahkan tarikh tayangan Ejen Ali The Movie 2 yang dijadualkan meledak di pawagam seluruh negara bermula 22 Mei 2025. Treler yang dilancarkan hari ini menyusul selepas poster utama yang hangat diperkatakan sejak semalam, menandakan kembalinya Ejen Ali dalam sebuah misi yang jauh lebih mendebarkan dan sarat emosi.
Dengan jalan cerita yang lebih dramatik serta ancaman yang lebih besar, Ejen Ali tampil dalam pengembaraan epik terbaharu yang bakal menguji kekuatan mental dan fizikalnya. Visual animasi yang lebih canggih dan naratif penuh intensiti menjadikan sekuel ini sebagai antara filem animasi tempatan yang paling dinantikan tahun ini. Keterujaan penonton turut dipacu oleh tayangan semula filem pertama pada Februari lalu, ditambah dengan kemunculan lagu tema rasmi, Hanya Kamu nyanyian Dato’ M. Nasir, yang kini tular di platform digital.
Treler dibuka dengan suara misteri menyeru Ali untuk bangkit, disusuli dialog menyengat “Kerja kita belum selesai…” yang membayangkan konflik dalaman serta pertembungan luar biasa dengan Rizwan, bekas ejen MATA yang kembali dengan niat terselindung. Ketika musuh lama, Neonimus, muncul dengan rancangan berbahaya untuk menjatuhkan Cyberaya, Ali perlu menguasai sut Satria – satu inovasi teknologi AI yang diperkenalkan MATA dan kini menjadi kunci kejayaan misi mereka.

Kehadiran dua ketua baharu Teras MATA, Ejen Amir (Neuro) dan Ejen Elle (Inviso), turut mengubah strategi pasukan dan mencetus dinamika baharu dalam perjuangan menentang ancaman yang lebih kompleks. Tambahan pula, gabungan Rizwan bersama penjahat Dos dan Trez mengundang pelbagai persoalan tentang siapa sebenarnya yang berada di pihak kebenaran.
Latar muzik yang mendebarkan melatari treler kedua ini dengan sempurna, menghasilkan pengalaman sinematik yang menggugah semangat. Sekuel ini membawa kesinambungan kepada Ejen Ali The Movie (2019) dengan membawa elemen konspirasi, pengkhianatan dan pertarungan yang lebih besar, mencabar Ali dan pasukannya pada tahap yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Pengarah filem, Usamah Zaid Yasin, menyifatkan pelancaran treler ini sebagai satu detik istimewa buat seluruh pasukan produksi. Beliau turut menyatakan bahawa mereka tidak sabar untuk membawa penonton menyelami dunia Ejen Ali di layar perak dengan skala yang lebih epik dan pengalaman sinematik yang memukau.
Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh Primeworks Studios dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions. Filem ini bakal membawa animasi tempatan ke tahap antarabangsa, dan para peminat boleh terus menghangatkan suasana dengan menggunakan tanda pagar rasmi #EjenAliTheMovie2 di media sosial.
Jangan lupa ikuti semua saluran rasmi Ejen Ali untuk kandungan eksklusif dan perkembangan terbaru. Saksikan treler rasmi kedua di YouTube, TikTok, Facebook, Instagram dan Twitter rasmi Ejen Ali. Misi diteruskan, dan dunia sedang menanti kemunculan Ejen Ali di pawagam mulai 22 Mei ini.
