Malam penuh emosi, memori dan magis telah tercipta pada 31 Mei lalu apabila penyanyi tersohor, Melly Goeslaw, kembali menggegarkan Axiata Arena menerusi konsert penutup paling ditunggu-tunggu, Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite.
Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini merupakan bab terakhir dalam trilogi konsert Ada Apa Dengan Melly…?, menyusuli kejayaan dua edisi terdahulu: Back To School dan Malam Graduasi yang telah mencetuskan fenomena luar biasa di kalangan peminat di Malaysia. Kali ini, Melly melunaskan janjinya membawa peminat ‘pulang ke terowong masa’ untuk berpesta ria dalam malam nostalgia penuh warna dan cinta.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyifatkan konsert ini sebagai satu penutup yang bukan hanya simbolik, tetapi sebuah perayaan emosi dan karya yang dekat di hati rakyat Malaysia. “Prom Nite bukan malam terakhir, ia adalah permulaan semula untuk menghidupkan kenangan yang pernah dilalui bersama Melly. Ini momen yang wajib untuk semua ‘graduan’ hadir,” ujar beliau.

Bagi Melly sendiri, malam tersebut adalah lebih daripada sekadar persembahan. Ia adalah penghargaan buat semua peminat yang telah menemani perjalanannya selama ini. “Saya tidak ingin berjanji lebih, cuma ingin semua hadir dan merasai momen paling tidak terlupakan bersama saya,” kata Melly dengan penuh semangat.
Dengan iringan muzik hebat arahan Anto Hoed, pentas disulami dengan penampilan khas Aina Abdul, serta dua wajah yang cukup sinonim dengan Ada Apa Dengan Cinta Nicholas Saputra dan Dinda Ghania, menjadikan suasana konsert begitu meriah dan emosional.
Sepanjang malam, Melly mempersembahkan barisan lagu popular seperti Ku Bahagia, Jika, Gantung, Sampai Kumenutup Mata, dan medley klasik termasuk Isabella, Betapa Kucinta Padamu, serta Janji Manis. Penonton turut dihiburkan dengan segmen pesta dan tari menerusi lagu-lagu seperti Let’s Dance Together, Hey Ladies, Salah, dan Bagaikan Langit yang mencetuskan sorakan dan nyanyian tanpa henti.
Konsert yang bermula tepat jam 8.30 malam itu telah membuktikan bahawa karya Melly terus relevan dan mampu merentasi generasi. Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite bukan hanya sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman penuh jiwa yang akan terus hidup dalam ingatan setiap yang hadir.
Maklumat Acara:
Acara: Ada Apa Dengan Melly…? Prom Nite
Tarikh: 31 Mei 2025
Lokasi: Axiata Arena, Kuala Lumpur
Masa: 8.30 malam
Penganjur: Icon Entertainment
Pengarah Muzik: Anto Hoed
Artis Undangan: Aina Abdul, Nicholas Saputra, Dinda Ghania
