Lebih 1 Juta Penonton Serbu Pawagam – Animasi Tempatan Terus Menawan Hati Rakyat!
Misi diteruskan dengan penuh gemilang! Filem aksi animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), hasil kolaborasi hebat antara Primeworks Studios dan WAU Animation, telah mencatat kutipan luar biasa sebanyak RM15.3 juta dalam tempoh hanya empat hari tayangan – sekali gus menjadikan filem ini sebagai salah satu pembukaan filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah industri perfileman negara. Lebih 1 juta penonton telah ‘melapor diri’ ke pawagam sejak tayangan rasmi bermula pada 22 Mei 2025 di 161 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.
Sambutan hangat ini menandakan penerimaan rakyat Malaysia yang amat membanggakan terhadap naskhah animasi tempatan yang sarat dengan aksi, emosi dan nilai kekeluargaan. Dengan musim cuti sekolah yang bakal bermula pada 29 Mei, pihak pawagam dilihat menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada penonton pelbagai peringkat umur.

Usamah Zaid Yasin, Pengarah filem dan Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, menzahirkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat. “Alhamdulillah, sambutan yang kami terima sejak pra-tayangan sehinggalah ke tayangan umum sangat luar biasa. Komen positif dan maklum balas yang diberikan oleh penonton memberi semangat baru kepada seluruh pasukan produksi untuk terus memperjuangkan karya animasi tempatan yang berkualiti tinggi.”
Sementara itu, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong filem ini sempena musim cuti sekolah. “Kami amat teruja melihat sokongan luar biasa rakyat terhadap Ejen Ali The Movie 2. Ia bukan sahaja sebuah filem hiburan, malah menyampaikan mesej positif yang sesuai ditonton seisi keluarga. Kami juga menyeru agar semua pihak menjaga etika tontonan dengan tidak menyebarkan spoiler bagi menghormati pengalaman penonton lain.”
Fenomena Ejen Ali bukan sekadar tontonan biasa – ia adalah simbol kemajuan industri animasi tempatan yang semakin gah di pentas nasional dan antarabangsa. Dengan jalan cerita yang padat, visual yang menakjubkan dan emosi yang menyentuh jiwa, EATM2 telah membuktikan bahawa karya anak tempatan mampu bersaing di layar besar dengan penuh megah.
Jangan tunggu hingga operasi tamat! Tempah tiket anda hari ini dan rasai sendiri debaran misi Ejen Ali yang memukau. Saksikan bagaimana seorang wira muda mengharungi cabaran baharu dengan semangat juang yang tidak pernah luntur.
Ikuti perkembangan terkini, kandungan eksklusif dan momen di sebalik tabir menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta laman sosial Primeworks Studios Film.
