JANGAN PANDANG RINGAN SIMPTOM BIASA: FAHAMI RISIKO DAN RAWATAN TUMOR OTAK

Sakit kepala yang kerap, perubahan tingkah laku, atau sukar memberi tumpuan sering dianggap remeh – namun simptom-simptom ini mungkin menjadi petunjuk awal kepada penyakit serius seperti tumor otak. Di Malaysia, penyakit ini menyumbang kepada 1.6% kes kanser otak dan sistem saraf, menjadikannya antara punca kematian kanser yang utama jika tidak dikesan awal.

Menurut Pakar Bedah Saraf dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Mah Jon Kooi, kebanyakan pesakit datang pada peringkat akhir kerana gejala tumor otak sering disalah anggap. “Masalah memori, gangguan pertuturan atau perubahan mood biasanya dikaitkan dengan penuaan, sedangkan ia mungkin berkaitan dengan lokasi tumor di dalam otak,” katanya. Beliau menegaskan kepentingan pemeriksaan awal terutamanya jika simptom-simptom ini berlanjutan tanpa sebab yang jelas.

Tumor otak boleh dikategorikan sebagai primer (berasal dari otak) atau sekunder (berpunca daripada kanser di bahagian badan lain yang merebak ke otak). Menurut Dr Gerard Arvind Martin, juga Pakar Bedah Saraf di SMCV, tumor sekunder adalah lima hingga sepuluh kali lebih kerap berlaku berbanding tumor primer – seperti dalam kes seorang ahli politik tempatan yang mendedahkan diagnosis tumor otak hasil daripada kanser paru-paru yang merebak.

Gejala awal tumor otak boleh berbeza-beza, bergantung pada lokasi tumor. Sakit kepala luar biasa, loya, penglihatan berganda, kesukaran pertuturan atau ingatan, perubahan personaliti dan hilang imbangan merupakan antara tanda penting. Untuk pengesahan, ujian pengimejan seperti MRI atau CT scan amat diperlukan, kerana ia membantu pakar merancang rawatan yang bersesuaian.

Rawatan tumor otak kini lebih maju, termasuk pembedahan seperti craniotomy, awake surgery, dan penggunaan endoskop menerusi hidung untuk mengakses kawasan otak yang sukar dicapai. Malah, prosedur radiosurgeri bukan invasif turut menjadi alternatif moden yang efektif. Dr Gerard berkongsi pengalaman menangani pesakit tumor otak sekunder akibat kanser paru-paru, di mana gabungan prosedur ventrikulostomi dan penyingkiran tumor dalam satu sesi berjaya menyelamatkan nyawa pesakit.

Diagnosis tumor otak bukanlah penamat kehidupan. Sebaliknya, ia adalah titik permulaan untuk mendapatkan rawatan yang betul. Kemajuan teknologi dan sokongan dari pasukan kesihatan membolehkan pesakit hari ini menjalani rawatan dengan lebih yakin, cepat, dan efektif. Bertindak awal, kenali simptom kecil dan dapatkan nasihat pakar sebelum ia menjadi parah.

Untuk maklumat lanjut mengenai pemeriksaan atau rawatan tumor otak, hubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my. Layari www.sunmedvelocity.com.my atau ikuti Sunway Medical Centre Velocity di Facebook untuk perkembangan terkini.