Pengambilan Suplemen Semakin Popular, Namun Keputusan Bermaklumat Masih Rendah
7 min read
Dengan tahap kefahaman yang semakin meningkat terhadap kesihatan dan kesejahteraan, pengguna masa kini kian peka tentang kepentingan menjaga kesihatan serta mengurangkan keperluan mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Pendekatan penjagaan kesihatan secara pencegahan kini menjadi keutamaan dalam kalangan pengguna di Asia Pasifik (APAC), dengan 92% menyatakan ia penting untuk kesejahteraan menyeluruh. Di Malaysia, tahap kesedaran ini lebih tinggi apabila mencecah 95%, berdasarkan tinjauan terkini oleh Herbalife.
Menurut Dr. Alex Teo, Pengarah Penyelidikan, Pembangunan dan Hal Ehwal Saintifik Asia Pasifik, Herbalife, semakin ramai individu berusaha meningkatkan tahap kesihatan dengan mengamalkan pemakanan lebih seimbang, bersenam dan mengambil makanan tambahan atau suplemen. Kini, suplemen dilihat sebagai pelengkap kepada kesihatan menyeluruh, membantu meningkatkan sistem imun serta menyokong pencapaian matlamat kesihatan individu. Lazimnya, pengambilan suplemen disarankan oleh doktor, pakar pemakanan, syarikat penjagaan kesihatan dan juga rakan-rakan.

Tinjauan Herbalife yang melibatkan 9,000 pengguna di 11 pasaran pada Mei 2025 mendapati dua daripada lima pengguna di Malaysia mengambil suplemen secara berkala. Namun begitu, dapatan turut menunjukkan satu trend yang membimbangkan apabila hanya 65% responden yakin bahawa mereka membuat keputusan yang tepat berkaitan pemakanan tambahan.
Pemilihan suplemen secara bertanggungjawab memerlukan pemahaman yang jelas tentang komposisi ramuan, kualiti produk, dos yang disyorkan, had pengambilan serta potensi interaksi dengan makanan tambahan dan ubat-ubatan lain. Tanpa pengetahuan yang mencukupi, pengguna mungkin sukar memperoleh manfaat optimum daripada suplemen, sekali gus menjejaskan usaha penjagaan kesihatan pencegahan mereka.
Bagi menangani cabaran ini, penting untuk mengenal pasti jurang pengetahuan dalam kalangan pengguna mengenai suplemen. Tinjauan Herbalife mendapati bahawa pengguna daripada pelbagai peringkat umur masih kurang memahami cara pengambilan suplemen yang selamat dan berkesan. Lebih membimbangkan, ramai yang tidak menyedari dos yang sesuai serta had maksimum pengambilan, terutamanya apabila mengambil lebih daripada satu jenis suplemen. Di Malaysia, sebanyak 24% responden tidak menyedari kesan pengambilan suplemen secara berlebihan.

Dr. Teo turut menjelaskan bahawa separuh daripada responden dalam kalangan generasi Boomer di APAC mengambil suplemen setiap hari, namun hanya 30% yang membuat keputusan secara bermaklumat, menjadikan mereka kumpulan paling kurang peka. Tahap keyakinan mereka juga rendah, dengan hanya 42% yakin terhadap keputusan pemakanan tambahan mereka berbanding kumpulan umur lain. Sebaliknya, generasi Gen Z dilihat paling yakin tentang kepentingan membuat keputusan bermaklumat (47%) serta paling yakin (58%) terhadap keupayaan mereka membuat pilihan yang lebih bijak berkaitan pengambilan suplemen.
Selain itu, kekurangan pemahaman tentang interaksi antara suplemen dan ubat-ubatan turut menjadi kebimbangan. Sebagai contoh, herba St. John’s Wort boleh mengurangkan keberkesanan ubat seperti warfarin dan statin tertentu. Pengambilan suplemen kalsium secara berlebihan pula boleh menyebabkan hiperkalsemia, iaitu keadaan di mana paras kalsium dalam darah menjadi terlalu tinggi, yang boleh mengakibatkan kelemahan tulang dan pembentukan batu karang. Tinjauan juga mendapati 59% responden di Malaysia tidak mengetahui had pengambilan harian kalsium, manakala 74% tidak menyedari kesan pengambilan berlebihan.
Dari sudut positif, responden di Malaysia mengakui peranan mereka dalam membuat keputusan yang bijak, dengan 84% menyedari kepentingannya. Namun, tanggungjawab ini tidak terletak pada pengguna semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama antara pengguna dan penyedia suplemen.
Walaupun akses kepada maklumat kini lebih meluas, membuat keputusan yang tepat mengenai suplemen tetap memerlukan usaha. Pengguna perlu membaca label, melakukan rujukan sendiri dan mendapatkan panduan daripada sumber yang sahih. Pada masa yang sama, sokongan daripada profesional yang dipercayai serta berlandaskan sains amat diperlukan. Walaupun 58% responden mendapatkan nasihat doktor atau pakar pemakanan, masih terdapat sebahagian yang belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan penggunaan suplemen yang selamat. Pengguna perlu mendapatkan maklumat yang tepat, profesional kesihatan harus memberikan nasihat berasaskan bukti saintifik, manakala penyedia suplemen perlu memastikan pelabelan yang jelas serta komunikasi yang telus. Selain itu, kawalan kualiti produk yang ketat, pengesahan keselamatan dan jaminan keberkesanan perlu menjadi asas dalam meningkatkan keyakinan pengguna.
Berdasarkan tinjauan Herbalife, pengguna percaya bahawa suplemen memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan. Oleh itu, penting untuk memastikan suplemen yang diambil adalah sesuai serta diamalkan dengan cara yang betul.
Dalam usaha meningkatkan tahap kesihatan, kerjasama antara penyedia suplemen dan pengguna amat penting bagi menyokong matlamat kesihatan masing-masing. Syarikat pemakanan boleh memainkan peranan sebagai peneraju dalam membentuk pemikiran pengguna, manakala pendidikan mengenai suplemen perlu dipertingkatkan agar pengguna lebih berdaya membuat pilihan yang tepat. Dengan pendekatan ini, pengambilan suplemen secara bertanggungjawab dapat dijadikan amalan harian, sekali gus membantu pengguna di rantau ini mengekalkan kesihatan untuk jangka masa yang lebih panjang.