Kos sewa tapak niaga yang melambung tinggi di acara bertaraf antarabangsa tidak lagi menjadi penghalang buat 30 penjaja kecil tempatan selepas mereka berjaya mencatat jualan lebih RM200,000 sempena Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026. Kejayaan memberangsangkan itu direalisasikan menerusi Program Litar Rasa MADANI yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Bertempat di zon K2 Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang selama tiga hari, program itu menerima kehadiran lebih 10,000 pengunjung dengan jumlah jualan terkumpul mencecah RM207,000. Jika mengikut harga pasaran komersial di acara berprestij berkenaan, kadar sewa tapak boleh mencecah sehingga RM3,000, satu jumlah yang sukar ditanggung oleh peniaga kecil-kecilan.
Bagi memastikan golongan penjaja tidak tercicir daripada menikmati limpahan ekonomi sukan permotoran dunia itu, KUSKOP menanggung 100 peratus kos sewa tapak serta menyediakan kelengkapan berniaga termasuk khemah, meja, kerusi, baju dan apron. Peniaga terlibat hanya perlu membayar RM180 untuk lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, langkah ini adalah lanjutan daripada kejayaan program serupa semasa perlumbaan Formula Satu (F1) bulan lalu. Beliau menegaskan bahawa apabila beban sewa dan logistik dikurangkan, penjaja mempunyai ruang modal yang lebih selesa untuk menumpukan kepada kualiti produk serta kelancaran operasi jualan.
Inisiatif inklusif ini turut disokong dengan tawaran Tiket MADANI pada harga RM49.90 bagi pemegang MyKad di kawasan K2 Hillstand, sekali gus memberi peluang kepada rakyat marhaen merasai kehangatan MotoGP Malaysia 2026 yang menghimpunkan lebih 196,000 penonton keseluruhan sepanjang hujung minggu perlumbaan tersebut.












