Pelancaran Program Care Cake: Inisiatif Bersama Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle Bantu Kanak-Kanak Pesakit Kanser

Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle telah melancarkan Program Care Cake, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang mengetengahkan produk baharu Ajwa iaitu Marbeles Series, kek marble berkeju yang diilhamkan sebagai simbol harapan dan kasih sayang. Majlis pelancaran ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai tanda komitmen rasmi terhadap kerjasama ini.

Program ini menggabungkan unsur keusahawanan dan kebajikan dengan objektif murni, di mana 30 peratus daripada hasil jualan Marbeles Series akan disumbangkan terus ke Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina. Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi memenuhi keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi untuk kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani rawatan kanser.

Pengasas Ajwa Bakery, Puan Dahlia Nazmi berkata Ajwa percaya bahawa perniagaan bukan sekadar menjual produk tetapi turut boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada masyarakat. Menurut beliau, melalui Program Care Cake ini pihaknya berbesar hati dapat bersama Adina dalam membawa harapan melalui setiap potongan kek.

Sementara itu, Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi menyifatkan program ini sebagai bukti bahawa kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk melalui makanan. Katanya, setiap pembelian bukan hanya memberi kenikmatan rasa tetapi juga menjadi penyumbang harapan buat pesakit muda yang sedang berjuang.

Selain pelancaran produk, kedua-dua pihak turut merancang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bersama seperti kempen kesedaran serta program interaksi bersama kanak-kanak pesakit kanser yang akan melibatkan penyertaan sukarelawan, sepanjang tempoh kerjasama ini berlangsung.

Marbeles Series boleh didapati di cawangan Ajwa Bakery di Kota Damansara dan Taman Melawati. Produk ini juga akan ditawarkan secara dalam talian menerusi platform yang akan diumumkan dalam masa terdekat.