Tag: #AdinaCharityCircle

  • Raikan Kasih Adina AlKhair 2025 – Solidariti Komuniti untuk Kanak-Kanak Kanser

    Raikan Kasih Adina AlKhair 2025 – Solidariti Komuniti untuk Kanak-Kanak Kanser

    Adina Charity Circle, dengan kerjasama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia, berjaya menganjurkan Raikan Kasih Adina AlKhair 2025, program kemanusiaan yang memberi tumpuan kepada sokongan kanak-kanak kanser. Program ini berlangsung pada Ahad, 14 Disember 2025, dari jam 11.00 pagi hingga 5.00 petang di Pentas Utama, Kompleks PKNS Shah Alam, dengan kehadiran orang ramai dan keluarga yang ingin menyumbang kepada usaha meringankan beban pesakit kanak-kanak serta keluarga mereka.

    Program ini menandakan kemuncak Projek Pengumpulan Lampin Pakai Buang untuk Kanak-Kanak Kanser yang berlangsung selama 14 hari. Pada hari acara, jumlah keseluruhan lampin pakai buang yang dikumpul diumumkan kepada umum sebagai simbol solidariti komuniti terhadap perjuangan anak-anak kanser. Selain itu, majlis turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang dan susu bernutrisi, disusuli dengan sesi penghargaan kepada rakan kerjasama yang membantu menjayakan inisiatif ini.

    Acara ini diserikan dengan aktiviti kanak-kanak bermula jam 10.30 pagi, pengisian rohani oleh Ustaz Don Daniyal, serta persembahan istimewa daripada Azan Addin, Pot Amir Innuendo dan Radhi Khalid. Kehadiran mereka memberikan suntikan semangat, hiburan dan mesej harapan yang menguatkan impak program kepada para penerima dan pengunjung.

    Para penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama termasuk Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Biofitrah, BAKIT, Pertubuhan KAB, Yayasan EZ Prihatin, Rumah Ngaji Mekah, HUMAM Relief, Merryah Kitchen, The Charms Team, Grads, Mydin Mart Seksyen 13 serta Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Kanak-kanak Kanser (Kids). Sokongan sukarelawan dan penyumbang individu menjadi tulang belakang kejayaan, membuktikan kuasa usaha kolektif komuniti dalam memperkukuh kesejahteraan kanak-kanak yang menghadapi cabaran kesihatan serius.

  • Adina Charity Circle Anjur “Diapers Donation Drive” Demi Membantu Kanak-Kanak Kanser

    Adina Charity Circle Anjur “Diapers Donation Drive” Demi Membantu Kanak-Kanak Kanser

    Adina Charity Circle dengan kerjasama Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam dan AlKhair Malaysia melancarkan kempen kebajikan “Diapers Donation Drive”, satu inisiatif yang bertujuan mengumpulkan lampin pakai buang bagi membantu kanak-kanak kanser yang memerlukan sokongan keperluan harian. Majlis pelancaran disempurnakan oleh YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib, Pengarah Strategi & Perniagaan Koperasi Guru Besar Selangor Berhad, dengan kehadiran selebriti tanah air Putra Amaris; Puan Nuraishah Zaidi, Ketua Jabatan Media AlKhair Malaysia; serta Yang Dipertua Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks PKNS Shah Alam, Puan Latifah Jalil, yang turut bersama menggerakkan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai beban yang ditanggung keluarga pesakit kanak-kanak kanser. Kempen yang berlangsung dari 1 hingga 14 Disember 2025 di Pentas Utama Kompleks PKNS Shah Alam ini menyasarkan kutipan 200 pek diapers pelbagai saiz dan jenis, sebagai langkah meringankan perbelanjaan harian keluarga terlibat. Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi menjelaskan bahawa kempen ini merupakan komitmen berterusan dalam memastikan kanak-kanak kanser menerima bantuan mengikut keperluan harian mereka, sambil menekankan pentingnya penglibatan masyarakat untuk memastikan sumbangan sampai tepat kepada penerima. Menurut YBhg Dato’ Nazmi Ab Talib, inisiatif ini amat bermakna kerana ia menyediakan bantuan terus kepada keluarga yang berdepan situasi mencabar, terutama apabila kos keperluan asas seperti diapers menjadi beban tambahan yang harus ditanggung. Adina Charity Circle turut merakamkan penghargaan kepada rakan kerjasama seperti AlKhair Malaysia, Kompleks PKNS Shah Alam, Cinta Gaza Malaysia, Ajwa Bakery, Pertubuhan KAB, Biofitrah, Grads, Rumah Ngaji Mekah, The Charms Team dan Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-anak Kanser (Kids) atas komitmen mereka menjayakan program ini. Susulan sambutan baik masyarakat, Adina Charity Circle merancang menjadikan “Diapers Donation Drive” sebagai acara tahunan bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak kanser dan keluarga memerlukan mendapat bantuan yang diperlukan pada masa hadapan.

    Acara Kemuncak – 14 Disember 2025

    Acara kemuncak kempen ini akan berlangsung pada Ahad, 14 Disember 2025, bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam bersempena program “Raikan Kasih Adina AlKhair” bersama kanak-kanak kanser.

    Acara ini turut diserikan dengan:

    ● Aktiviti interaktif bersama kanak-kanak.
    ● Sudut “Wishing Card” untuk masyarakat menitipkan doa & pesanan sokongan.
    ● Sesi perkongsian oleh Ustaz Don Daniyal.
    ● Serahan lampin pakai buang dan susu bernutrisi untuk kanak-kanak kanser.
    ● Pengumuman jumlah rasmi kutipan lampin pakai buang.
    ● Persembahan dari rakan-rakan selebriti.
    ● Penyampaian penghargaan kepada para rakan kerjasama dan penaja.

    Masyarakat setempat dijangka hadir bagi memeriahkan acara sambil menyokong usaha kebajikan ini.

    Maklumat Kempen:

    Nama Program: “Diapers Donation Drive”
    Tarikh: 1–14 Disember 2025
    Masa: 10 pagi – 8 malam
    Lokasi: Pentas Utama, Kompleks PKNS Shah Alam
    Sasaran: 200 pek diapers pelbagai saiz & jenis

    Datanglah membeli-belah di Kompleks PKNS Shah Alam sempena “Year End Sale” dan sumbangkan “diapers” untuk kanak-kanak kanser.

  • Melalui “Kumpul Kasih: A Morning of Care & Colours”, senyuman kembali mekar pada wajah pesakit kanser kanak-kanak.

    Melalui “Kumpul Kasih: A Morning of Care & Colours”, senyuman kembali mekar pada wajah pesakit kanser kanak-kanak.

    Program Kumpul Kasih: A Morning of Care & Colours anjuran Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle telah berlangsung dengan penuh meriah dan menyentuh hati di Malaya Grill, Sungai Buloh. Inisiatif ini dianjurkan khusus untuk menceriakan pesakit kanser kanak-kanak sambil memberikan sokongan moral kepada keluarga mereka. Kehadiran wakil Adina Charity Circle, Puan Dieana, dan wakil Ajwa Bakery, Puan Dahlia, menyerlahkan komitmen kedua-dua organisasi dalam membawa keceriaan kepada komuniti yang memerlukan.

    Menurut Puan Nurdieana dari Adina Charity Circle, program ini bukan sekadar ruang untuk berhibur, tetapi juga satu penghargaan terhadap semangat luar biasa pejuang kecil tersebut. Manakala Puan Dahlia, Pengarah Urusan Ajwa Bakery, menekankan bahawa aktiviti menghias kek bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut membantu anak-anak mengekspresikan kreativiti mereka. Program turut diserikan dengan sesi motivasi oleh Coach Azie, diikuti aktiviti menghias kek yang menjadi kemuncak acara, dipenuhi tawa, warna dan keberanian. Kumpul Kasih membawa mesej besar bahawa setiap senyuman kecil mampu menyalakan harapan, membuka ruang untuk lebih banyak program sokongan emosi pada masa hadapan.

  • Pelancaran Program Care Cake: Inisiatif Bersama Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle Bantu Kanak-Kanak Pesakit Kanser

    Pelancaran Program Care Cake: Inisiatif Bersama Ajwa Bakery dan Adina Charity Circle Bantu Kanak-Kanak Pesakit Kanser

    Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle telah melancarkan Program Care Cake, sebuah inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang mengetengahkan produk baharu Ajwa iaitu Marbeles Series, kek marble berkeju yang diilhamkan sebagai simbol harapan dan kasih sayang. Majlis pelancaran ini turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak sebagai tanda komitmen rasmi terhadap kerjasama ini.

    Program ini menggabungkan unsur keusahawanan dan kebajikan dengan objektif murni, di mana 30 peratus daripada hasil jualan Marbeles Series akan disumbangkan terus ke Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina. Dana yang dikumpulkan akan digunakan bagi memenuhi keperluan asas seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi untuk kanak-kanak dan remaja yang sedang menjalani rawatan kanser.

    Pengasas Ajwa Bakery, Puan Dahlia Nazmi berkata Ajwa percaya bahawa perniagaan bukan sekadar menjual produk tetapi turut boleh memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada masyarakat. Menurut beliau, melalui Program Care Cake ini pihaknya berbesar hati dapat bersama Adina dalam membawa harapan melalui setiap potongan kek.

    Sementara itu, Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi menyifatkan program ini sebagai bukti bahawa kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk termasuk melalui makanan. Katanya, setiap pembelian bukan hanya memberi kenikmatan rasa tetapi juga menjadi penyumbang harapan buat pesakit muda yang sedang berjuang.

    Selain pelancaran produk, kedua-dua pihak turut merancang untuk menganjurkan pelbagai aktiviti bersama seperti kempen kesedaran serta program interaksi bersama kanak-kanak pesakit kanser yang akan melibatkan penyertaan sukarelawan, sepanjang tempoh kerjasama ini berlangsung.

    Marbeles Series boleh didapati di cawangan Ajwa Bakery di Kota Damansara dan Taman Melawati. Produk ini juga akan ditawarkan secara dalam talian menerusi platform yang akan diumumkan dalam masa terdekat.