TV AlHijrah meneruskan komitmennya dalam menyemarakkan Ramadan dengan program Hijrah Prihatin Bubur Lambuk, yang bertujuan bukan sahaja untuk mengedarkan juadah berbuka puasa, tetapi juga untuk mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat. Program ini akan berlangsung di Lembah Klang dan Pulau Sebang, Melaka, dengan penglibatan ramai pihak termasuk sukarelawan, personaliti TV, serta rakan penaja seperti MYTV.
Pengagihan bubur lambuk di Lembah Klang akan melibatkan beberapa lokasi utama seperti Flat Taman Mulia, Cheras (19 Mac), Madrasah Seksyen 4, Wangsa Maju (20 Mac), Masjid Gombak Utara (21 Mac), dan Sekolah Tahfiz Al-Habbah, Batu Caves (24 Mac). Program ini memberi tumpuan kepada mereka yang memerlukan, termasuk golongan asnaf dan petugas barisan hadapan, sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan.


Di Pulau Sebang, Melaka, inisiatif ini mendapat sentuhan istimewa dengan kerjasama KTMB, di mana pada 14 Mac, bubur lambuk akan dimasak di Masjid Aleyah Kuala Ina sebelum diagihkan kepada penumpang KTM serta penduduk setempat. Pada sebelah malam, pasukan Hijrah Prihatin akan berbuka puasa bersama jemaah masjid, menghidupkan semangat berkongsi dan bersyukur.
Menurut Muhammad Sazri Abd Sani, Pengurus Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, program ini adalah satu usaha berterusan untuk memastikan semangat berkongsi rezeki terus subur dalam masyarakat. TV AlHijrah berhasrat untuk menjadikan Hijrah Prihatin Bubur Lambuk sebagai satu simbol kasih sayang dan kepedulian yang dapat menyatukan ummah dalam bulan penuh keberkatan ini.968