Rekod & Ribuan Senyuman! Hampir 400,000 Serbu Karnival Jom Heboh x Hari Nanas Malaysia di Johor Bahru

Suasana di Padang B, Angsana Johor Bahru Mall berubah menjadi lautan manusia apabila hampir 400,000 pengunjung membanjiri Karnival Jom Heboh (KJH) selama tiga hari berturut-turut sempena sambutan Hari Nanas Malaysia 2025. Dianjurkan oleh Media Prima Berhad (MPB) dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), karnival berskala mega ini diraikan dengan penuh meriah dari 27 hingga 29 Jun, menampilkan aktiviti mesra keluarga, hiburan, kerohanian, dan rekod manis yang mengagumkan.

Hari Nanas Malaysia buat pertama kali diraikan secara besar-besaran, dengan pelancarannya dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia. Majlis ini memberi penghormatan kepada industri nanas tempatan yang telah lama bertapak sejak era sebelum merdeka, sambil memperkenalkan semula komoditi ini kepada masyarakat dalam gaya yang moden, kreatif dan inklusif.

Salah satu detik gemilang sepanjang karnival ialah kejayaan mencipta rekod Malaysia Book of Records apabila sebanyak 32,040 tart nanas dihasilkan serentak dalam satu acara khas! Tart-tart ini kemudian diagihkan secara percuma kepada ribuan pengunjung. Ia bukan sahaja mencipta sejarah, tetapi turut menzahirkan kemanisan Hari Nanas Malaysia dalam erti sebenar. Selain itu, pertandingan tart nanas ‘Fresh From Oven’ turut menarik perhatian ramai dengan nilai hadiah keseluruhan melebihi RM28,000.

Tidak sekadar menghibur, karnival ini turut menyatukan komuniti melalui program kerohanian Jom Selawat sempena sambutan Awal Muharram. Lebih 1,000 pengunjung menyertai forum yang dikendalikan oleh Da’i Azam Al-Kankari bersama panelis Ustaz Jazlan Abdullah dan Ustaz Esby Islami, serta persembahan qasidah oleh Firqah Al-Masarrah, menjadikan program ini antara yang paling menyentuh jiwa sepanjang acara.

Lebih daripada 170 reruai menghiasi tapak karnival, menampilkan gabungan jenama besar dan usahawan tempatan. Tarikan visual seperti Gunung Nanas dan landskap bromeliad mencuri tumpuan pengunjung untuk bergambar. Aktiviti interaktif lain termasuk NSTP Racing Sim, konvoi Harley Davidson, supercar show, pemeriksaan kesihatan, serta pelbagai booth TVET yang menawarkan pengalaman pendidikan teknikal dan vokasional kepada belia.

Karnival ini turut merentasi sempadan apabila kehadiran pengunjung dari Singapura dan Indonesia semakin menyerlahkan daya tarikan Johor sebagai hab hiburan dan gaya hidup. Beberapa aktiviti luar turut dianjurkan seperti pertandingan PUBG Mobile, bowling, badminton dan bola sepak, menjadikan sambutan ini antara yang paling menyeluruh dalam sejarah penganjuran KJH.

Salah satu lokasi tumpuan utama ialah Studio Tonton Drama Sangat, di mana peminat dapat bertemu selebriti popular seperti Izzati Nizam, Farah Nabilah Wazer, Fahmi Tajudin, Ahmad Syafiq, Kodi Rasheed, Kirana Batrisyia, Liza Abdullah, Aleza Shadan dan Didie Alias. Pertandingan Zapin Terbuka Kanak-Kanak juga mendapat sambutan hangat dengan Tari Aliff Asyoka diumumkan sebagai juara.

Kemuncak acara pastinya Konsert Jom Heboh yang berlangsung selama dua malam berturut-turut. Dipandu oleh Ayu Hot FM dan Hanif Miswan, konsert ini menggegarkan pentas dengan persembahan mantap daripada Jaclyn Victor, Wany Kayrie, Tuju & Loca B, Drama Band, Sham Visa, Azlan Typewriter, Haiza, Nabila Razali, Amir UK’s, Kai Deva dan K.O.I.

Untuk perkembangan lanjut dan lokasi KJH seterusnya, orang ramai boleh melayari laman rasmi www.jomheboh.com.my serta ikuti media sosial rasmi di @jomhebohofficial.