Borneo Fashion Week 2025: Pentas Global Fesyen Berteraskan Kelestarian & Budaya

Borneo Fashion Week (BFW) 2025 kembali dengan lebih besar dan berwawasan, membawa aspirasi baharu ke pentas fesyen antarabangsa. Berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober di Pavilion Damansara Heights, lokasi eksklusif ini dijangka memberikan pengalaman imersif kepada para pengunjung dengan gabungan pameran fesyen, pertunjukan budaya dan sentuhan kreatif bertaraf dunia.

Diasaskan oleh Stephanie Alcantara, juara Mrs. Malaysia Classique Globe 23/24, naib juara Miss Malaysia 1990 dan Dewi Remaja 1989, BFW lahir daripada keinginan untuk memperjuangkan budaya masyarakat pribumi sambil memperkukuh kedudukan Asia dalam dunia haute couture. Sejak diperkenalkan, acara ini berkembang menjadi salah satu festival utama dalam kalendar kreatif rantau ini, menghimpunkan pereka, peragawati serta penggiat industri fesyen dari seluruh dunia.

Dengan tema “Fashion With Purpose”, edisi tahun ini menekankan bahawa fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga sebuah platform identiti, kebanggaan dan kelestarian. Para pereka diwajibkan untuk mempersembahkan sekurang-kurangnya satu rekaan berkonsepkan lestari, sejajar dengan kesedaran terhadap alam sekitar. Menurut Stephanie, matlamat utama BFW adalah untuk melangkaui sekadar sebuah pertunjukan fesyen. Ia menjadi wadah penceritaan, menyemai rasa hormat terhadap budaya, dan mencetuskan kesedaran tentang kepentingan kelestarian.

BFW 2025 menampilkan pereka tersohor dan bakat baharu, di samping jenama gaya hidup serta persembahan budaya yang menghubungkan seni, muzik dan fesyen. Dari tekstil tradisional hingga rekaan kontemporari, gabungan warisan dan inovasi ini mencerminkan kekuatan Borneo sebagai pusat inspirasi global. Konsep tahun ini bukan sahaja meraikan akar budaya, malah memperlihatkan bagaimana fesyen dapat menjadi pemangkin ekonomi dan agen perubahan sosial.

Borneo Fashion Week juga terus memperkukuh jaringan global melalui kolaborasi bersama media antarabangsa dan pempengaruh fesyen, sekali gus membuka peluang luas kepada pereka tempatan untuk tampil di peringkat dunia. Pereka baharu diberikan ruang sama rata dengan nama besar dalam industri, termasuk liputan media dan peluang rangkaian, bagi memastikan suara generasi baharu terus berkumandang dalam dunia fesyen.

Kelestarian tetap menjadi teras utama dengan penggunaan material mesra alam dan proses penghasilan yang lebih eco-conscious. Warisan budaya Borneo tetap diberi tempat dengan penampilan motif, tekstil dan hasil pertukangan tradisional dalam gaya moden yang segar. Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan rakan strategik seperti Cavu Fragrance, NADI Clinic, Pensonic, Esperer Cosmetiques dan Pavilion Damansara Heights. Kerjasama ini meletakkan BFW sebagai festival gaya hidup menyeluruh yang menyatukan inovasi, wellness dan budaya.

Stephanie menegaskan bahawa impian jangka panjangnya adalah menjadikan Borneo Fashion Week sebagai pusat fesyen utama Asia yang diiktiraf secara global. Dengan kempen Visit Malaysia 2026, beliau berharap BFW dapat disenaraikan dalam kalendar tahunan MOTAC sebagai salah satu acara kebanggaan negara. Matlamat ini bukan sahaja untuk memperkenalkan bakat tempatan ke persada dunia, tetapi juga membuka peluang kerjasama antarabangsa serta mencipta nilai ekonomi untuk pereka dan penggiat industri fesyen Malaysia dan Borneo.

Antara pereka yang bakal tampil di pentas BFW 2025 termasuk Angelique, Aldrin, Clarissima, Calvin Tho, December Teo, GC Jade, Inayad, Ocely, Saerah, Barzwang, Jayk, Wan Bynun, Even Ong, Penan Bag, Maswira Majid, Nasha Prive dan Yacutha dari Malaysia. Turut serta ialah Bianca dan Gracie dari Vietnam, Hayden Ng dan Indra Mubarak dari Singapura serta Bilang dari Brunei. Kehadiran nama-nama ini menandakan kepelbagaian perspektif kreatif yang akan dipersembahkan kepada dunia di Pavilion Damansara Heights pada Oktober nanti.