Kerajaan Negeri Selangor hari ini merasmikan Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 (SCEE25) dengan tema “Re:Imagine Selangor – Creativity is the New Economy.” Majlis gilang-gemilang ini telah disempurnakan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, bersama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Negeri Selangor, YB Tuan Mohd Najwan bin Halimi. Pelancaran ini menandakan bermulanya era baharu bagi pembangunan industri kreatif negeri yang dilihat mampu menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif yang diperkenalkan hari ini merangka hala tuju 10 tahun untuk mengangkat Selangor sebagai hab kreatif serantau dengan sasaran sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak RM20 bilion menjelang tahun 2035. Pelan ini memberi tumpuan kepada inovasi dan keusahawanan, pengukuhan bakat tempatan, pemeliharaan warisan budaya, serta peluasan akses pasaran global. Ia juga didukung oleh enam pemangkin utama iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, kemudahan pembiayaan, kesiapsiagaan infrastruktur, akses pasaran yang lebih luas dan sistem tadbir urus yang mantap.
Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 yang berlangsung pada 23 hingga 24 September di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam berfungsi sebagai platform penting untuk menggerakkan inisiatif pelan tindakan ini. Penganjurannya menampilkan pelbagai sesi termasuk perbincangan dasar, forum, bengkel, pameran dan persembahan interaktif. Selain itu, ia turut membuka ruang jaringan perniagaan melalui CRE8Biz Xchange yang mempertemukan usahawan dengan jenama besar, pelabur serta agensi kerajaan. CRE8Fund pula dilancarkan sebagai Dana Mikro Kreatif Selangor untuk membantu syarikat pemula dan pencipta tempatan mendapatkan pembiayaan, manakala CRE8Stage mengetengahkan persembahan seni, pameran serta pengalaman kreatif daripada bakat tempatan. Ekspo ini juga menjadi pentas pemeteraian memorandum persefahaman yang menonjolkan kerjasama strategik merentas industri.

Menurut YB Najwan, ekonomi kreatif tidak lagi boleh dilihat hanya dalam konteks seni dan budaya semata-mata, sebaliknya ia kini merupakan bidang yang mampu mencipta pekerjaan bernilai tinggi, merangsang inovasi, mengukuhkan sektor pelancongan dan membina identiti global bagi Selangor. Industri kreatif negeri ini telah menyumbang antara RM8 hingga RM10 bilion kepada KDNK pada tahun 2022. Dengan pelaksanaan pelan tindakan baharu ini, Selangor menyasarkan pertumbuhan berganda menjelang 2035 dengan mewujudkan ekosistem yang inklusif, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Ekspo ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY) dan mendapat sokongan daripada pelbagai rakan strategik sektor awam dan swasta. Langkah ini membuktikan komitmen Selangor untuk terus memartabatkan industri kreatif sebagai tunjang ekonomi baharu dan mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pusat kreativiti serantau.