Lebih 30,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan GF GALAU Food Festival

Warga Lembah Klang bakal menikmati sebuah festival makanan dan hiburan terbesar hujung tahun ini apabila Gold Field Holding Sdn. Bhd. menganjurkan buat julung kalinya GF GALAU Food Festival (GFF) di Setia Alam Convention Centre, Selangor. Festival yang akan berlangsung selama lima hari bermula 27 hingga 31 Disember 2025 ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik yang menggabungkan elemen makanan, gaya hidup, hiburan muzik dan acara kekeluargaan dalam satu lokasi.

Setia Alam yang kini menjadi tumpuan utama penduduk sekitar setiap hujung minggu turut dipilih sebagai lokasi strategik bagi menarik lebih ramai pengunjung ke acara ini. Menurut Pengurus Acara Gold Field Holding Sdn. Bhd., En. Azlisham Yusof, objektif utama penganjuran festival ini adalah untuk merancakkan industri makanan tempatan serta memberi peluang kepada pengusaha kecil dan sederhana mempromosikan produk mereka menjelang sambutan tahun baharu.

“GF GALAU Food Festival diwujudkan sebagai platform santai untuk seluruh masyarakat berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan, menikmati pelbagai hidangan menarik serta hiburan secara berhemah dan selamat,” katanya.

Festival ini menyasarkan kehadiran antara 30,000 hingga 40,000 pengunjung sepanjang tempoh lima hari penganjuran dengan pelbagai aktiviti yang mampu menarik perhatian semua lapisan umur. Antara tarikan utama yang bakal memeriahkan festival ini termasuk deretan gerai makanan dan minuman tempatan serta antarabangsa, booth jualan dan pameran produk gaya hidup, persembahan pentas dan hiburan keluarga, serta pertunjukan bunga api bersempena malam tahun baharu.

Lebih menarik, setiap malam festival akan dihangatkan dengan konsert daripada barisan artis popular tanah air seperti Kristal, Ways, Exceed, Keena Mentor dan Arca Band yang pastinya menghidupkan suasana dengan persembahan bertenaga. Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah istimewa yang menawarkan dua unit Scooter EVBike, satu unit Sony PlayStation 5, satu unit penghawa dingin, satu unit televisyen 50 inci serta beberapa hamper bernilai tinggi.

Sepanjang penganjuran, festival ini akan dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam, manakala malam penutup pada 31 Disember 2025 dijangka menjadi kemuncak sambutan tahun baharu di Lembah Klang dengan pertunjukan bunga api yang spektakular.

GF GALAU Food Festival bukan sekadar acara makan dan hiburan, tetapi satu pengalaman komuniti yang meraikan cita rasa tempatan, kreativiti dan semangat bersama. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan ini dan jadikan penghujung tahun anda lebih bermakna di GF GALAU Food Festival 2025. Sesiapa yang berminat untuk membuka booth atau jika terdapat sebarang pertanyaan boleh hubungi Sha di talian 0183256339.