Sambutan Dua Dekad Kecemerlangan Fesyen Modest Antarabangsa
Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan dunia fesyen antarabangsa apabila Islamic Fashion Festival (IFF) kembali menganjurkan edisi ke-49 yang juga kemuncak sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya dari 21 hingga 23 November 2026 ini. Bertempat di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, pengasas merangkap Pengerusi IFF, YBM Tengku Sri Kelana D’Raja Adjunct Professor Dato’ Sri Raja Rezza Shah, memilih tema ‘Peranakan The Golden Era’ kerana keunikannya yang menterjemahkan perayaan integrasi kaum dan budaya, seiring dengan perjalanan dua dekad festival berprestij ini merentasi empat benua.

Sinergi Bersama Pertubuhan Amal dan Yayasan Diraja di Pentas IFF 2026
Pementasan fesyen berskala besar ini turut mendapat sokongan erat pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta yayasan diraja yang bertindak sebagai co-host untuk tujuan amal menerusi slot persembahan berbeza. Antara organisasi yang berganding bahu termasuklah Puspanita Cawangan KDN, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Nur Zahirah, serta Pandu Puteri Kelantan dan Sarawak Ladies Club. Usaha murni ini bukan sahaja meraikan seni reka busana Islamik, malah memperkukuh peranan tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan yang memerlukan.
Himpunan Pereka Tersohor Serantau dan Persembahan Eksklusif
Pentas IFF Kuala Lumpur 2026 kali ini akan diserikan dengan karya agung daripada 13 pereka fesyen tersohor Malaysia dan 11 pereka dari Indonesia, di samping koleksi barangan kemas, jenama tudung, serta beg tangan eksklusif. Antara nama-nama besar industri yang memeriahkan Minggu Fesyen ini termasuklah Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, dan pereka tersohor Indonesia, Ghea Panggabean. Kehebatan acara ini turut disempurnakan dengan persembahan bertenaga artis jemputan seperti Liza Aziz dan Nadeera, serta diacarakan oleh pengacara terkenal Elaine Daly dan Malek McCrone.












