Ketika suhu mula menurun menandakan ketibaan musim sejuk di Syria, pertubuhan kemanusiaan Syria Care terus komited meneruskan usaha membantu mereka yang terkesan dengan pelancaran kempen Winter Aid 13.0. Inisiatif ini bertujuan memberikan bantuan kepada komuniti rentan di Syria serta pelarian Syria di Lubnan yang bakal berdepan dengan cabaran musim sejuk yang sering kali membawa ancaman terhadap kesihatan, keselesaan dan nyawa.
Kempen Winter Aid 13.0 yang berlangsung dari 26 September hingga 31 Disember 2025 memberi tumpuan kepada penyediaan tiga jenis bantuan utama iaitu bahan bakar seperti diesel, kayu api dan briket zaitun serta pakaian musim sejuk. Bantuan ini diharap dapat mengurangkan beban rakyat Syria yang terpaksa menghadapi suhu ekstrem tanpa kelengkapan yang mencukupi.
Salah satu inisiatif utama di bawah kempen ini ialah projek “Warm Their Winter”, program pengumpulan pakaian musim sejuk yang telah menjadi kempen tahunan Syria Care sejak tahun 2013. Projek ini berlangsung dari 22 hingga 26 Oktober 2025 di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam. Melalui projek ini, Syria Care menyasarkan pengumpulan pelbagai barangan keperluan musim sejuk termasuk pakaian tebal, jaket, selimut, kasut dan barangan asas lain yang amat diperlukan oleh rakyat Syria.
Sejak kempen ini dimulakan, sebanyak 17 kontena bantuan telah berjaya dihantar ke Syria dan Lubnan. Untuk tahun ini, Syria Care mensasarkan penghantaran dua kontena bersaiz 40 kaki yang akan memuatkan sekitar 1,584 kotak bantuan dengan setiap kotak seberat antara 10 hingga 15 kilogram. Bantuan tersebut akan dihantar melalui jalan laut dan dijangka tiba di Pelabuhan Latakia, Syria dalam tempoh 50 hari.

Bantuan kali ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 12,000 individu, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat sejak 2013 kini mencecah kira-kira 250,000 orang. Setiap tahun, inisiatif ini bukan sahaja menjadi bukti komitmen kemanusiaan rakyat Malaysia, tetapi juga simbol solidariti dan kasih sayang terhadap mereka yang terpinggir akibat konflik yang tidak berkesudahan.
Selain memastikan kehangatan dan keselesaan, kempen Winter Aid 13.0 juga memainkan peranan penting dalam melindungi nyawa daripada ancaman kesejukan melampau yang sering meragut nyawa golongan rentan, terutamanya kanak-kanak dan warga emas. Usaha ini turut mendapat sokongan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP Zon 3), serta kerjasama rakan strategik seperti HUMAM Relief dan Pertubuhan Ihsanku Malaysia.
Bagi melaksanakan keseluruhan projek ini, Syria Care menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000 bagi menampung kos logistik dan operasi. Oleh itu, orang ramai, syarikat korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digalakkan untuk turut sama menjayakan misi kemanusiaan ini.
Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah binti Meor Omar Baki berkata, musim sejuk di Syria bukan sekadar perubahan cuaca tetapi satu ujian kehidupan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal dan keselamatan. Melalui kempen ini, Syria Care ingin menyampaikan bukan sahaja bantuan pakaian dan keperluan asas, tetapi juga rasa kasih sayang dan harapan daripada rakyat Malaysia kepada saudara mereka di Syria.
Setiap sumbangan, tidak kira besar atau kecil, membawa makna yang amat besar kepada mereka yang sedang berjuang untuk terus bertahan menghadapi kesejukan tanpa perlindungan mencukupi. Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Syria Care 562106653575 atau melalui laman sesawang rasmi di https://syriacare.org.my/winteraid/.
