Marsha Milan Sampaikan Kesedihan Puteri Balqis dalam Lagu ‘Tangisan Seorang Pendosa’

Drama Keluarga Itu yang kini meraih perhatian ramai di TV3 terus menyentuh hati penonton dengan kisah penuh konflik dan emosi. Sebagai penyempurna kepada jalan cerita yang penuh drama ini, lagu runut bunyi (OST) Tangisan Seorang Pendosa, dinyanyikan oleh Marsha Milan, tampil dengan penghayatan mendalam, melambangkan perasaan watak Dhamiah, yang dibawa dengan cemerlang oleh Puteri Balqis.

Lagu ini dicipta oleh Marsha Milan sendiri, dengan lirik yang penuh makna ditulis oleh Hazama. Tangisan Seorang Pendosa membawa tema penyesalan dan pergolakan jiwa, sangat seiring dengan perjalanan hidup tragis Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Watak Dhamiah yang terperangkap dalam penderitaan yang ditimbulkan oleh bapanya, menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sumber inspirasi dalam penghasilan lagu ini.

Hazama, selaku penulis lirik, berkongsi, “Lagu ini diilhamkan oleh perjalanan Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Saya ingin menyampaikan perasaan konflik dan penderitaan yang dilalui watak ini.” Marsha Milan turut memberi pandangannya, “Setiap bait dalam lagu ini adalah satu luahan perasaan yang mendalam untuk menggambarkan emosi watak Dhamiah. Melodinya dirancang untuk menyentuh setiap lapisan perasaan, lebih daripada sekadar sebuah lagu.”

Lirik Tangisan Seorang Pendosa menceritakan kisah perjuangan seseorang yang dihantui oleh bayang-bayang dosa dan penyesalan. Walaupun berusaha untuk berubah dan melawan, individu tersebut merasa terperangkap dalam kesedihan dan tidak didengari. Lagu ini menggambarkan pertentangan dalam diri antara harapan dan kenyataan, serta rasa bersalah terhadap keputusan-keputusan yang telah diambil.

Marsha Milan mengakui bahawa rakaman lagu ini merupakan satu cabaran yang cukup besar. “Saya mengambil masa dua hari untuk merakam lagu ini, kerana saya ingin memastikan setiap perasaan dan emosi yang terkandung dalam lagu ini dapat disampaikan dengan tepat,” ujar Marsha. Hazama pula memuji bakat dan penghayatan Marsha, “Keupayaan Marsha untuk menyampaikan emosi melalui suaranya memang sangat luar biasa, membawa lagu ini ke dalam dimensi yang lebih mendalam.”

Kerjasama antara Marsha Milan dan Hazama dalam menghasilkan lagu ini jelas menunjukkan kefahaman yang mendalam terhadap watak dan emosi yang ingin disampaikan. Melodi balada yang menyentuh perasaan, bersama vokal penuh emosi dari Marsha, menjadikan Tangisan Seorang Pendosa sebagai OST yang mampu memberi impak mendalam kepada pendengar.

Jangan ketinggalan untuk merasai emosi sebenar dari Keluarga Itu melalui lagu Tangisan Seorang Pendosa. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Saksikan drama Keluarga Itu yang penuh emosi setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3 atau strim lebih awal 24 jam di Tonton.

Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.