Tag: #PuteriBalqis

  • Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Hubungan antara ibu bapa dan anak sering kali dipenuhi kasih sayang, harapan serta doa yang tidak pernah putus. Namun, apabila seorang anak mula melangkah jauh daripada nilai yang membesarkannya, persoalan tentang di mana silapnya didikan mula timbul. Tema inilah yang diketengahkan dalam siri terbaharu Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah Tonton Original Series yang menyelami sisi rapuh hubungan keluarga serta pilihan hidup yang boleh membawa padah. Drama 10 episod arahan Amor Rizan ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail. Siri ini mula bersiaran pada 16 Mac 2026 dengan episod baharu setiap Isnin dan Selasa, jam 12.00 tengah malam.

    Kisahnya bermula apabila Bahar dan Tijah menemui seorang bayi yang ditinggalkan di hadapan rumah mereka. Bayi tersebut dibesarkan dengan penuh kasih sayang sebagai anak angkat dan diberi nama Husna. Dalam lakonan yang penuh emosi oleh Puteri Balqis, Husna menjadi pusat perhatian Bahar yang terlalu memanjakannya sejak kecil. Namun, keadaan mula berubah apabila Husna meningkat remaja dan mula memberontak, sering ponteng sekolah serta melakukan pelbagai kesalahan kerana keinginannya untuk keluar daripada kehidupan serba sederhana yang dirasainya.

    Pergolakan emosi semakin memuncak apabila Husna mengambil keputusan melarikan diri dari rumah dan terjebak dalam hubungan dengan Zafran, seorang lelaki yang mempunyai sisi gelap dalam hidupnya. Keputusan itu secara tidak langsung menjauhkan Husna daripada keluarga yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Konflik ini membuka ruang kepada penonton untuk menyelami persoalan tentang kasih, pengorbanan dan pencarian identiti diri yang sering dilalui oleh remaja.

    Menurut Puteri Balqis, watak Husna bukanlah seorang remaja yang sememangnya bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang sedang berusaha memahami dunia di sekelilingnya. Proses mencari jati diri sering dipenuhi kesilapan dan pilihan yang sukar, namun daripada pengalaman itulah seseorang belajar untuk bangkit dan menyedari nilai sebenar kehidupan. Dengan jalan cerita yang sarat emosi serta mesej kekeluargaan yang mendalam, Anugerah Tanpa Cahaya dijangka memberi kesan kepada penonton, khususnya sepanjang bulan Ramadan apabila nilai kasih sayang dan pengampunan menjadi lebih bermakna.

    Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

  • 2.5 Juta Tontonan! ‘Antara Insan’ Curi Hati Netizen Dengan Kisah Keluarga Menyentuh Jiwa

    2.5 Juta Tontonan! ‘Antara Insan’ Curi Hati Netizen Dengan Kisah Keluarga Menyentuh Jiwa

    Belum pun sempat habis tayangan penuh, Keluarga Antara Insan sudah pun mencuri hati warganet! Drama bersiri vertikal terbaharu di TV3 ini berjaya meraih lebih 2.5 juta tontonan di TikTok dalam tempoh seminggu sahaja, membuktikan formula ceritanya yang segar, lucu dan dekat di hati penonton.

    Disokong oleh Samsung Malaysia, drama ini menggabungkan tenaga bintang seperti Muaz Zabir, Puteri Balqis, Aleza Shadan, Amirulhakim Lokman, dan DUKES, dengan penampilan istimewa Tony Eusoff yang turut mencuri tumpuan. Kalau anda pernah jatuh hati dengan Keluarga Itu, kini anda bakal ketawa dan tersentuh dengan Keluarga Antara Insan – drama yang membawakan sisi baru para pelakon, lebih santai dan bersahaja.

    Apa yang menarik, netizen ramai memuji transformasi lakonan Puteri Balqis yang tampil lebih ‘relatable’ dan kelakar – jauh berbeza daripada watak-watak berat yang sering dipegangnya sebelum ini. Muaz Zabir pula kekal dengan karisma tersendiri yang menjadikan gandingan mereka lebih menghiburkan. Dan jangan dilupakan – si comel Momo! Kucing ini bukan sekadar penambah seri, tapi bintang kecil yang mencuri hati ramai.

    Berlatarbelakangkan suasana kejiranan di Taman Antara Insan, kisah bermula dengan perbalahan antara Dahlia (Puteri Balqis) dan Amir (Muaz Zabir) gara-gara insiden kereta calar dan seekor kucing bernama Momo. Dari perang mulut ke perang dingin, hubungan mereka mula berubah bila jiran-jiran seperti Kak Bib (Aleza Shadan), Ezzat (Amirulhakim Lokman), dan geng surau (DUKES) cuba menyatukan dua hati yang asyik bertelagah itu – tepat di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

    Episod demi episod, kita dibawa menyelusuri ragam sahur, bazar Ramadan, tarawih, dan persiapan raya yang penuh kejutan dan kehangatan. Dahlia dan Amir perlahan-lahan mengenali sisi baru masing-masing. Dari benci bertukar jadi simpati, dan mungkin… cinta? Tapi mampukah mereka benar-benar berdamai atau sekadar akur demi suasana kejiranan?

    Jangan tunggu lama-lama! Tonton sekarang Keluarga Antara Insan di TikTok rasmi TV3 @tv3Malaysia dan juga TikTok @samsungmalaysia. Jangan lupa untuk kongsikan episod kegemaran anda dan tag #KeluargaAntaraInsan supaya lebih ramai dapat merasai keseronokan drama ini!

    Ikuti juga perkembangan lanjut di Facebook, Twitter, YouTube & Instagram rasmi TV3 @TV3Malaysia dan juga @dramasangat untuk info drama terkini sepanjang tahun.

  • Marsha Milan Sampaikan Kesedihan Puteri Balqis dalam Lagu ‘Tangisan Seorang Pendosa’

    Marsha Milan Sampaikan Kesedihan Puteri Balqis dalam Lagu ‘Tangisan Seorang Pendosa’

    Drama Keluarga Itu yang kini meraih perhatian ramai di TV3 terus menyentuh hati penonton dengan kisah penuh konflik dan emosi. Sebagai penyempurna kepada jalan cerita yang penuh drama ini, lagu runut bunyi (OST) Tangisan Seorang Pendosa, dinyanyikan oleh Marsha Milan, tampil dengan penghayatan mendalam, melambangkan perasaan watak Dhamiah, yang dibawa dengan cemerlang oleh Puteri Balqis.

    Lagu ini dicipta oleh Marsha Milan sendiri, dengan lirik yang penuh makna ditulis oleh Hazama. Tangisan Seorang Pendosa membawa tema penyesalan dan pergolakan jiwa, sangat seiring dengan perjalanan hidup tragis Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Watak Dhamiah yang terperangkap dalam penderitaan yang ditimbulkan oleh bapanya, menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sumber inspirasi dalam penghasilan lagu ini.

    Hazama, selaku penulis lirik, berkongsi, “Lagu ini diilhamkan oleh perjalanan Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Saya ingin menyampaikan perasaan konflik dan penderitaan yang dilalui watak ini.” Marsha Milan turut memberi pandangannya, “Setiap bait dalam lagu ini adalah satu luahan perasaan yang mendalam untuk menggambarkan emosi watak Dhamiah. Melodinya dirancang untuk menyentuh setiap lapisan perasaan, lebih daripada sekadar sebuah lagu.”

    Lirik Tangisan Seorang Pendosa menceritakan kisah perjuangan seseorang yang dihantui oleh bayang-bayang dosa dan penyesalan. Walaupun berusaha untuk berubah dan melawan, individu tersebut merasa terperangkap dalam kesedihan dan tidak didengari. Lagu ini menggambarkan pertentangan dalam diri antara harapan dan kenyataan, serta rasa bersalah terhadap keputusan-keputusan yang telah diambil.

    Marsha Milan mengakui bahawa rakaman lagu ini merupakan satu cabaran yang cukup besar. “Saya mengambil masa dua hari untuk merakam lagu ini, kerana saya ingin memastikan setiap perasaan dan emosi yang terkandung dalam lagu ini dapat disampaikan dengan tepat,” ujar Marsha. Hazama pula memuji bakat dan penghayatan Marsha, “Keupayaan Marsha untuk menyampaikan emosi melalui suaranya memang sangat luar biasa, membawa lagu ini ke dalam dimensi yang lebih mendalam.”

    Kerjasama antara Marsha Milan dan Hazama dalam menghasilkan lagu ini jelas menunjukkan kefahaman yang mendalam terhadap watak dan emosi yang ingin disampaikan. Melodi balada yang menyentuh perasaan, bersama vokal penuh emosi dari Marsha, menjadikan Tangisan Seorang Pendosa sebagai OST yang mampu memberi impak mendalam kepada pendengar.

    Jangan ketinggalan untuk merasai emosi sebenar dari Keluarga Itu melalui lagu Tangisan Seorang Pendosa. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Saksikan drama Keluarga Itu yang penuh emosi setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3 atau strim lebih awal 24 jam di Tonton.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.