Tag: #TangisanSeorangPendosa

  • “Tangisan Seorang Pendosa”: Kisah Penyesalan dan Keinsafan Dalam Nuansa Hitam Putih

    “Tangisan Seorang Pendosa”: Kisah Penyesalan dan Keinsafan Dalam Nuansa Hitam Putih

    Penyanyi bersuara merdu, Marsha Milan sekali lagi mencuri tumpuan dengan pelancaran muzik video terbaharunya berjudul Tangisan Seorang Pendosa, yang dilancarkan malam ini. Menyentuh tema keinsafan dan pergolakan jiwa dalam menempuh liku kehidupan, muzik video ini tampil dengan visual hitam putih yang dramatik, sekaligus membangkitkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan menyentuh perasaan.

    Penggambaran muzik video ini dijalankan di Pulau Pinang dengan latar bangunan bersejarah dipilih untuk menggambarkan kenangan masa lalu, manakala babak di pelabuhan pula melambangkan perjalanan menuju masa hadapan. Gabungan dua suasana ini membentuk kesinambungan visual yang mendalam, membawa penonton menelusuri perjalanan emosi dan masa secara simbolik.

    Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pemilihan lokasi di Pulau Pinang membuka ruang kepada penyampaian visual yang lebih puitis serta sarat dengan nilai estetika. Kolaborasi erat antara beliau, Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan sebuah karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperincikan dengan teliti agar penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasakan emosi yang ingin disampaikan.

    “Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu mencipta visual yang simbolik, puitis dan mampu menyentuh hati penonton. Walaupun berdepan cabaran seperti cuaca dan pencahayaan, pengalaman ini menjadi sesuatu yang sangat bermakna buat seluruh pasukan,” ujar Izuan.

    Sepanjang proses penggambaran, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang teliti, sementara faktor cuaca menyebabkan sesi penggambaran tertangguh beberapa kali. Babak di pelabuhan pula perlu disiapkan dalam masa yang singkat bagi menangkap keindahan cahaya semula jadi. Salah satu momen yang paling diingati ialah ketika penggambaran di Raffles Lighthouse, di mana Marsha perlu mengatasi ketakutan terhadap ketinggian untuk menyampaikan nyanyian dengan penuh penghayatan.

    Keseluruhan muzik video ini menonjolkan penggunaan visual hitam putih yang memberi kesan abadi, diserikan dengan gaya serba hitam Marsha yang menambah elemen misteri dan drama. Peralihan antara lokasi lama dan baharu turut melambangkan perjalanan masa lalu dan masa depan, menjadikan Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengalaman visual yang menggugah perasaan.

    Bagi Marsha sendiri, muzik video ini membawa makna yang cukup peribadi. “Bagi saya, Tangisan Seorang Pendosa bukan sekadar karya seni, tetapi sebuah perjalanan yang dekat dengan hati. Ada babak yang sukar kerana saya perlu melawan ketakutan diri sendiri, namun semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya berharap penonton dapat merasai emosi yang sama,” katanya.

    Lagu Tangisan Seorang Pendosa turut menjadi runut bunyi (OST) bagi drama popular Keluarga Itu yang mencetuskan fenomena di TV3, dengan jalan cerita yang penuh emosi dan nilai kemanusiaan. Muzik video ini akan dilancarkan secara rasmi pada Jumaat, 10 Oktober 2025, jam 8 malam di saluran YouTube rasmi Alternate Records & Talents. Penonton dijemput untuk menjadi antara yang pertama menikmati karya istimewa ini.

    Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi Alternate Records & Talents di Facebook, serta @alternate.my_ di Instagram dan @alternate.rt_ di TikTok.

  • Marsha Milan Sampaikan Kesedihan Puteri Balqis dalam Lagu ‘Tangisan Seorang Pendosa’

    Marsha Milan Sampaikan Kesedihan Puteri Balqis dalam Lagu ‘Tangisan Seorang Pendosa’

    Drama Keluarga Itu yang kini meraih perhatian ramai di TV3 terus menyentuh hati penonton dengan kisah penuh konflik dan emosi. Sebagai penyempurna kepada jalan cerita yang penuh drama ini, lagu runut bunyi (OST) Tangisan Seorang Pendosa, dinyanyikan oleh Marsha Milan, tampil dengan penghayatan mendalam, melambangkan perasaan watak Dhamiah, yang dibawa dengan cemerlang oleh Puteri Balqis.

    Lagu ini dicipta oleh Marsha Milan sendiri, dengan lirik yang penuh makna ditulis oleh Hazama. Tangisan Seorang Pendosa membawa tema penyesalan dan pergolakan jiwa, sangat seiring dengan perjalanan hidup tragis Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Watak Dhamiah yang terperangkap dalam penderitaan yang ditimbulkan oleh bapanya, menjadikan perjalanan hidupnya sebagai sumber inspirasi dalam penghasilan lagu ini.

    Hazama, selaku penulis lirik, berkongsi, “Lagu ini diilhamkan oleh perjalanan Dhamiah dalam drama Keluarga Itu. Saya ingin menyampaikan perasaan konflik dan penderitaan yang dilalui watak ini.” Marsha Milan turut memberi pandangannya, “Setiap bait dalam lagu ini adalah satu luahan perasaan yang mendalam untuk menggambarkan emosi watak Dhamiah. Melodinya dirancang untuk menyentuh setiap lapisan perasaan, lebih daripada sekadar sebuah lagu.”

    Lirik Tangisan Seorang Pendosa menceritakan kisah perjuangan seseorang yang dihantui oleh bayang-bayang dosa dan penyesalan. Walaupun berusaha untuk berubah dan melawan, individu tersebut merasa terperangkap dalam kesedihan dan tidak didengari. Lagu ini menggambarkan pertentangan dalam diri antara harapan dan kenyataan, serta rasa bersalah terhadap keputusan-keputusan yang telah diambil.

    Marsha Milan mengakui bahawa rakaman lagu ini merupakan satu cabaran yang cukup besar. “Saya mengambil masa dua hari untuk merakam lagu ini, kerana saya ingin memastikan setiap perasaan dan emosi yang terkandung dalam lagu ini dapat disampaikan dengan tepat,” ujar Marsha. Hazama pula memuji bakat dan penghayatan Marsha, “Keupayaan Marsha untuk menyampaikan emosi melalui suaranya memang sangat luar biasa, membawa lagu ini ke dalam dimensi yang lebih mendalam.”

    Kerjasama antara Marsha Milan dan Hazama dalam menghasilkan lagu ini jelas menunjukkan kefahaman yang mendalam terhadap watak dan emosi yang ingin disampaikan. Melodi balada yang menyentuh perasaan, bersama vokal penuh emosi dari Marsha, menjadikan Tangisan Seorang Pendosa sebagai OST yang mampu memberi impak mendalam kepada pendengar.

    Jangan ketinggalan untuk merasai emosi sebenar dari Keluarga Itu melalui lagu Tangisan Seorang Pendosa. Lagu ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman seperti Spotify dan YouTube Music. Saksikan drama Keluarga Itu yang penuh emosi setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9.00 malam di TV3 atau strim lebih awal 24 jam di Tonton.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Alternate Records & Talents, ikuti mereka di media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.