Kolaborasi Pertama Yang Menjadi – Ayu Damit & Emeer Bakri Dalam OST ‘Cukup Kita’

Ada waktunya, cinta sahaja tak cukup untuk mempertahankan sebuah hubungan. Bila kepercayaan mula pudar dan janji tinggal janji, mungkin yang tinggal hanyalah perpisahan. Itulah kisah yang disampaikan penuh emosi dalam lagu Cukup Kita, hasil duet dua vokalis berbakat, Ayu Damit dan Emeer Bakri, yang kini menjadi lagu runut bunyi rasmi untuk drama popular slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.

Lagu ini bukan sekadar sebuah balada cinta biasa. Ia adalah refleksi kepada luka yang mendalam, khusus buat mereka yang pernah merasa kecewa dalam hubungan. Dengan susunan muzik balada moden, elemen string sinematik, dan harmoni vokal yang menusuk jiwa, Cukup Kita memberikan pengalaman mendengar yang sangat mendalam — bagaikan mendengar luahan hati sendiri.

Menurut pencipta lagu dan penulis liriknya, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, inspirasi asal lagu ini datang ketika mereka sedang mendengar lagu-lagu pop balada Inggeris. Genre tersebut, menurut mereka, jarang diketengahkan di Malaysia, dan mereka mahu membawa sesuatu yang segar, tetapi masih dekat di hati pendengar tempatan. Hasilnya: sebuah lagu dengan nuansa moden dan sedikit suntikan rock di bahagian bridge.

“Lagu ini sebenarnya agak mencabar tetapi sangat menyeronokkan untuk dicipta. Yang paling bermakna ialah peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ayu. Suaranya cukup ikonik, dan saya belajar banyak daripada proses ini,” kongsi Emeer Bakri yang turut mencipta melodi bersama Amsyar Sabri. Proses demo mengambil masa sehari, dan keseluruhan lagu siap dalam dua minggu.

Bagi Ayu Damit pula, ini adalah single keempat beliau di bawah label Alternate Records, dan kerjasama dengan Emeer disifatkan sebagai satu padanan yang sempurna. “Lagu ni memang sangat menyentuh jiwa. Emeer seorang artis yang sangat berbakat dan senang dibawa bekerjasama. Vokal kami saling melengkapi, dan hasilnya adalah lagu yang bukan sahaja enak didengar, tapi penuh makna dan mudah diingati,” katanya yang menyempurnakan sesi rakaman dalam dua hari.

Drama Calon Isteri Buat Suami yang mula bersiaran sejak 8 April lalu sudah pun mula mencuri tumpuan ramai dengan naratif konflik cinta yang kompleks. Menariknya, beberapa bait lirik lagu Cukup Kita sebenarnya diinspirasikan daripada watak-watak dan konflik dalam drama tersebut — menjadikan lagu ini bukan hanya pelengkap, tetapi seakan suara latar kepada kisah cinta Nazim dan Haizi.

Bagi peminat muzik dan drama tempatan, Cukup Kita adalah satu kombinasi padu antara kisah, emosi dan kekuatan vokal. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti drama Calon Isteri Buat Suami yang menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma dan Trisha Ooi, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3.

Untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai lagu Cukup Kita, drama Calon Isteri Buat Suami, serta artis-artis di bawah naungan Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi mereka di Facebook melalui Alternate Records & Talents. Selain itu, ikuti juga akaun Instagram mereka di @alternate.my_ dan TikTok di @alternate.rt_ untuk konten eksklusif di sebalik tabir, video muzik, serta pelbagai aktiviti menarik yang akan datang.