Tag: #DramaTV3

  • Koleksi Drama Anna Jobling Eksklusif di Tonton!

    Menjelang malam penuh gemilang Seoul Drama Awards (SDA) 2025, Tonton tampil dengan penawaran istimewa buat peminat drama tempatan melalui kempen Koleksi Pujaan Hati. Himpunan drama terbaik lakonan Anna Jobling ini disajikan sebagai penghargaan kepada bakat muda yang berjaya mencetus fenomena di layar kaca dan kini bersedia mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

    Koleksi ini mengajak penonton untuk mengimbau semula detik-detik indah bersama Anna Jobling menerusi drama popular TV3 yang pernah mencuri perhatian ramai. Antara karya yang bakal mengisi seleksi ini termasuk Melur Untuk Firdaus, Terima Kasih Cinta, Bella – Bila Cinta Bersatu serta beberapa drama lain yang pernah meninggalkan kesan mendalam di hati penonton. Tonton menjadikan tawaran ini lebih menarik dengan promosi langganan istimewa bermula 25 September 2025. Peminat boleh melanggan hanya pada harga RM20 untuk tempoh tiga bulan dengan menggunakan kod diskaun eksklusif ANNAJOBLING ketika pendaftaran. Promosi early bird ini bukan sahaja menjimatkan malah memberi peluang kepada peminat untuk lebih dekat dengan karya kegemaran mereka.

    Anna Jobling pada tahun ini bakal berentap bersama barisan bintang besar dari seluruh Asia di SDA 2025. Penyertaannya bukan sekadar lambang kejayaan individu, tetapi turut menjadi bukti bahawa bakat tempatan mampu berdiri seiring dengan nama-nama antarabangsa. Kempen Koleksi Pujaan Hati bukan sahaja memberi ruang untuk menonton kembali drama kegemaran, tetapi juga menjadi wadah untuk peminat terus menyokong perjalanan seni Anna Jobling dari layar tempatan ke persada dunia.

    Jangan lepaskan peluang menyertai kempen ini bersama Tonton dan nikmati drama ikonik yang telah mencorakkan karier bintang muda ini. Ikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi TV3 dan Tonton sebagai tanda sokongan menjelang malam kemuncak Seoul Drama Awards 2025.

  • Episod Penutup Hilang Dalam Rindu Dijangka Raih Lebih 3.5 Juta Tontonan

    Episod Penutup Hilang Dalam Rindu Dijangka Raih Lebih 3.5 Juta Tontonan

    Fenomena baharu terus menggegarkan slot Samarinda apabila drama bersiri penuh emosi, Hilang Dalam Rindu, menghampiri detik penamatnya malam ini. Pada jam 10.00 malam di TV3, jutaan mata bakal tertumpu kepada episod akhir kisah cinta penuh konflik antara Eijaz dan Aira yang sejak awal tayangan berjaya mencuri perhatian serta mencetuskan bualan hangat di seluruh Malaysia.

    Episod kemuncak ini dijangka mencatatkan lebih 3.5 juta tontonan, sekali gus menjadikannya antara drama paling berpengaruh dalam sejarah terkini slot Samarinda. Bagi peminat yang telah mengikuti sejak episod pertama, malam ini bukan sekadar penutup tirai, sebaliknya sebuah peristiwa bersejarah yang menyatukan emosi penonton dengan barisan pelakon utama yang telah menemani perjalanan penuh warna-warni cinta, dendam dan pengorbanan.

    Sepanjang lima minggu bersiaran, Hilang Dalam Rindu berjaya mencetuskan fenomena luar biasa. Bukan sahaja trending di media sosial setiap minggu, malah ia turut meraih pujian kerana kekuatan jalan cerita yang sarat dengan kejutan. Setiap episodnya hadir dengan pengakhiran mendebarkan, menjadikan penonton setia menantikan sambungan tanpa henti.

    Pelakon utama, Jazmy Juma yang melakonkan watak Eijaz berkata, “Perjalanan Eijaz dan Aira penuh dugaan, penuh air mata dan ketidakpercayaan antara satu sama lain, tetapi di penghujungnya cinta mereka membuktikan bahawa pengorbanan tidak pernah sia-sia. Saya harap penonton akan merasai setiap emosi yang kami bawakan dalam episod akhir nanti.”

    Bagi Jazmy, mesej utama drama ini adalah pengajaran bahawa wang tidak mampu menutup kesalahan selamanya, sebaliknya kejujuran adalah jalan penyelesaian terbaik.

    Malam ini, segala rahsia, dendam dan cinta yang terbuku akhirnya menemui jawapan. Jangan ketinggalan menyaksikan episod akhir Hilang Dalam Rindu hanya di TV3, atau strim secara eksklusif melalui Tonton di www.tonton.com.my serta aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.

  • Kolaborasi Pertama Yang Menjadi – Ayu Damit & Emeer Bakri Dalam OST ‘Cukup Kita’

    Kolaborasi Pertama Yang Menjadi – Ayu Damit & Emeer Bakri Dalam OST ‘Cukup Kita’

    Ada waktunya, cinta sahaja tak cukup untuk mempertahankan sebuah hubungan. Bila kepercayaan mula pudar dan janji tinggal janji, mungkin yang tinggal hanyalah perpisahan. Itulah kisah yang disampaikan penuh emosi dalam lagu Cukup Kita, hasil duet dua vokalis berbakat, Ayu Damit dan Emeer Bakri, yang kini menjadi lagu runut bunyi rasmi untuk drama popular slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.

    Lagu ini bukan sekadar sebuah balada cinta biasa. Ia adalah refleksi kepada luka yang mendalam, khusus buat mereka yang pernah merasa kecewa dalam hubungan. Dengan susunan muzik balada moden, elemen string sinematik, dan harmoni vokal yang menusuk jiwa, Cukup Kita memberikan pengalaman mendengar yang sangat mendalam — bagaikan mendengar luahan hati sendiri.

    Menurut pencipta lagu dan penulis liriknya, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri, inspirasi asal lagu ini datang ketika mereka sedang mendengar lagu-lagu pop balada Inggeris. Genre tersebut, menurut mereka, jarang diketengahkan di Malaysia, dan mereka mahu membawa sesuatu yang segar, tetapi masih dekat di hati pendengar tempatan. Hasilnya: sebuah lagu dengan nuansa moden dan sedikit suntikan rock di bahagian bridge.

    “Lagu ini sebenarnya agak mencabar tetapi sangat menyeronokkan untuk dicipta. Yang paling bermakna ialah peluang untuk berkolaborasi dengan Kak Ayu. Suaranya cukup ikonik, dan saya belajar banyak daripada proses ini,” kongsi Emeer Bakri yang turut mencipta melodi bersama Amsyar Sabri. Proses demo mengambil masa sehari, dan keseluruhan lagu siap dalam dua minggu.

    Bagi Ayu Damit pula, ini adalah single keempat beliau di bawah label Alternate Records, dan kerjasama dengan Emeer disifatkan sebagai satu padanan yang sempurna. “Lagu ni memang sangat menyentuh jiwa. Emeer seorang artis yang sangat berbakat dan senang dibawa bekerjasama. Vokal kami saling melengkapi, dan hasilnya adalah lagu yang bukan sahaja enak didengar, tapi penuh makna dan mudah diingati,” katanya yang menyempurnakan sesi rakaman dalam dua hari.

    Drama Calon Isteri Buat Suami yang mula bersiaran sejak 8 April lalu sudah pun mula mencuri tumpuan ramai dengan naratif konflik cinta yang kompleks. Menariknya, beberapa bait lirik lagu Cukup Kita sebenarnya diinspirasikan daripada watak-watak dan konflik dalam drama tersebut — menjadikan lagu ini bukan hanya pelengkap, tetapi seakan suara latar kepada kisah cinta Nazim dan Haizi.

    Bagi peminat muzik dan drama tempatan, Cukup Kita adalah satu kombinasi padu antara kisah, emosi dan kekuatan vokal. Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.

    Jangan ketinggalan untuk terus mengikuti drama Calon Isteri Buat Suami yang menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Siti Hariesa, Jazmy Juma dan Trisha Ooi, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3.

    Untuk mendapatkan kemas kini terkini mengenai lagu Cukup Kita, drama Calon Isteri Buat Suami, serta artis-artis di bawah naungan Alternate Records & Talents, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi mereka di Facebook melalui Alternate Records & Talents. Selain itu, ikuti juga akaun Instagram mereka di @alternate.my_ dan TikTok di @alternate.rt_ untuk konten eksklusif di sebalik tabir, video muzik, serta pelbagai aktiviti menarik yang akan datang.