TV AlHijrah sekali lagi mengangkat martabat muzik nasyid menerusi Anugerah Carta 114, yang kini memasuki edisi ketiganya. Penganjuran acara ini bertujuan memberi penghormatan kepada seni muzik ketuhanan yang bukan sahaja mendidik jiwa, malah memperkaya budaya serta menyuburkan nilai seni Islam dalam arus perdana.
Kemuncak Anugerah Carta 114 2025 akan berlangsung pada 1 Februari 2025 (Sabtu), jam 9 malam, dan disiarkan secara langsung melalui saluran TV AlHijrah. Menampilkan persembahan eksklusif daripada barisan finalis dan artis jemputan, acara ini menjanjikan malam penuh makna yang menggabungkan elemen hiburan dan santapan rohani.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, berkata, “Muzik ketuhanan bukan sekadar hiburan, tetapi medium dakwah yang mendekatkan seni, budaya, dan keimanan. Kami percaya, seni yang baik membawa manusia lebih dekat kepada Allah. Anugerah Carta 114 adalah usaha kolektif untuk menyuburkan seni berpaksikan adab, ilmu, dan iman.”
Sistem Pemarkahan Telus & 7 Kategori Utama
Anugerah Carta 114 kali ini menyaksikan 43 minggu persaingan, melibatkan 49 lagu terbaik sebelum disaring kepada tujuh finalis. Sistem pemarkahan pula dirancang dengan telus, di mana:
- Empat kategori dinilai sepenuhnya oleh panel juri profesional.
- Dua kategori ditentukan melalui gabungan 70% undian peminat dan 30% juri profesional.
- Satu kategori ditentukan sepenuhnya oleh undian peminat.
Berikut adalah tujuh kategori dan keputusan pencalonan yang mara ke pentas kemuncak:
1. Susunan Muzik Terbaik:
- Pemenang: Hanya Dia – Halim Ahmad & Aiman Sidek (75%)
- Finalis lain: Sirih Pulang ke Gagang (74.7%) dan Gapura (74.3%).
2. Muzik Video Terbaik:
- Pemenang: Sirih Pulang ke Gagang (75%)
- Finalis lain: Cinta Takkan Tewas (69.3%) dan Bebaskan (67.3%).
3. Lirik Terbaik:
- Pemenang: Cinta Luar Biasa – Rabithah (79.3%)
- Finalis lain: Cinta Takkan Tewas dan Gapura.
4. Solo Terbaik:
- Pemenang: Cinta Pada-Mu – Idris Shamsuddin (85%)
- Finalis lain: Kau Bak Permata – Haadi (84%) dan Husnul Khotimah – Ezyree Fayyad (80%).
5. Artis Berkumpulan Terbaik:
- Pemenang: Salam Madinah – Madinah (85%)
- Finalis lain: Gapura (82%) dan Khaulah Al-Azwar (79%).
6. Kategori Terunggul Carta:
- Pemenang: Kau Bak Permata – Haadi
- Ditentukan sepenuhnya oleh pihak produksi dan juri profesional.
8. Pilihan Peminat:
- Pemenang: Abu Ubaidah – Darwish (2,221 undi)
- Finalis lain: Khaulah Al-Azwar (637 undi) dan Kau Bak Permata (462 undi).
Seni Muzik Islam Dalam Arus Perdana
TV AlHijrah yakin bahawa finalis yang terpilih mencerminkan bakat luar biasa dalam dunia seni Islam, di mana mereka bukan sahaja mencipta hiburan tetapi juga menyampaikan mesej dakwah yang menyentuh hati.
“Penganjuran ini adalah bukti keberkesanan seni Islam sebagai jambatan keimanan dan pendidikan rohani. Kami komited untuk memastikan seni ini terus relevan dan dihargai,” tambah Namanzee.
Penonton boleh menikmati siaran langsung kemuncak Anugerah Carta 114 melalui saluran TV AlHijrah serta platform digital seperti media sosial rasmi TV AlHijrah dan portal AlHijrah Online. Jangan lepaskan peluang menyaksikan persembahan istimewa dan pengiktirafan kepada penggiat seni muzik Islam yang unggul.
Untuk maklumat lanjut, layari www.tvalhijrah.com.