Media Prima & Primeworks Studios Kuasai FFM34 Dengan 5 Karya Terbaik

Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus menegaskan keunggulan mereka dalam industri hiburan tempatan dengan menerima pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-34. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan mutu produksi dan penceritaan yang tinggi, tetapi juga membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mengangkat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.

Antara karya yang menarik perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, iaitu Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga. Setiap karya membawa naratif berasaskan realiti dengan mesej kemanusiaan yang mendalam serta nilai inspirasi yang kuat. Dua lagi karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2, menonjol dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa, sekaligus memperkukuh reputasi produksi tempatan.

Ejen Ali The Movie 2, hasil kolaborasi Primeworks Studios dan WAU Animation, terus mencipta fenomena di pawagam tempatan dengan rekod kutipan tertinggi. Filem animasi kebanggaan negara ini menerima pengiktirafan dalam beberapa kategori utama FFM34 termasuk skor muzik asal terbaik, kesan khas visual terbaik dan penataan bunyi terbaik, membuktikan pencapaian produksi animasi tempatan setara dengan piawaian antarabangsa.

Blood Brothers: Bara Naga pula menjadi antara filem paling dominan tahun ini dengan pencalonan merentasi pelbagai kategori utama. Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini turut mendapat sokongan hangat daripada penonton dan pengkritik, menunjukkan kejayaan box-office dan penerimaan positif terhadap kualiti produksi, lakon layar, sinematografi, aksi dan lagak ngeri, penataan bunyi, penataan seni, lagu tema serta rekaan kostum.

Fail Mahkamah: Derita Zara membawa penonton menyelami kisah sebenar seorang wanita yang menempuh kesukaran untuk memperjuangkan keadilan. Dokumentari ini menonjol melalui keberanian penceritaan yang mengetengahkan nilai kemanusiaan dan mendapat pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34. Begitu juga Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung yang mengangkat kisah benar dengan pendekatan penceritaan yang jujur dan berempati, membuka perspektif baharu terhadap realiti dunia perundangan.

Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga pula menampilkan episod khas sempena ulang tahun Tenaga Nasional Berhad yang membincangkan strategi peralihan tenaga negara serta inisiatif tenaga boleh diperbaharui untuk pembangunan mampan. Kandungan ini diiktiraf kerana memberi impak mendidik dan informatif kepada penonton, menunjukkan kekuatan pasukan produksi dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi.

Kejayaan lima kandungan utama Media Prima dan Primeworks Studios menegaskan komitmen mereka dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, menghasilkan karya yang bukan sahaja menghibur tetapi juga menyampaikan mesej, nilai dan inspirasi kepada masyarakat. Malam Anugerah FFM34 yang bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, akan menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dan disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah ini.