Tag: #KaryaTempatan

  • Bisikan Nafsu Ketengahkan Perjuangan Mangsa Dalam Menghadapi Trauma

    Bisikan Nafsu Ketengahkan Perjuangan Mangsa Dalam Menghadapi Trauma

    Isu jenayah seksual yang berlaku dalam keluarga terus menjadi perhatian apabila kes membabitkan mangsa yang dikhianati oleh individu terdekat masih berlaku dalam masyarakat.

    Menyedari kepentingan memberi kesedaran mengenai isu tersebut, penerbit terkenal Dato’ A. Aida menghasilkan filem Bisikan Nafsu yang mengangkat kisah trauma, perjuangan dan kekuatan seseorang mangsa dalam menghadapi pengalaman pahit.

    Filem arahan Riza Baharudin itu bukan sekadar memaparkan konflik jenayah seksual dalam keluarga, malah turut membawa mesej mengenai kasih sayang, kesetiaan dan pengorbanan dalam menghadapi dugaan kehidupan.

    Menurut A. Aida, penghasilan Bisikan Nafsu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya mengenai kepentingan menjaga keselamatan anak-anak serta kepekaan dalam membina sebuah keluarga.

    Kisah Bisikan Nafsu berpusat kepada Nadia yang menjadi mangsa rogol oleh bapa tirinya sendiri sehingga menyebabkan dirinya mengalami trauma mendalam dan perubahan emosi yang ketara.

    Keadaan tersebut menyebabkan Nadia menjauhkan diri daripada tunangnya, Arisz, malah beberapa kali cuba mengambil tindakan terhadap dirinya sendiri.

    Namun begitu, Arisz tetap memilih untuk berada di sisi Nadia dengan memberikan sokongan, mencari jawapan terhadap perubahan yang berlaku dan membantu Nadia menghadapi pengalaman sukar tersebut.

    Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United itu menampilkan gabungan pelakon baharu serta pelakon berpengalaman industri hiburan tempatan.

    Azeva membawa watak Nadia manakala Aniq Suhair memegang watak Arisz sebagai individu yang tidak berputus asa memberikan sokongan kepada Nadia.

    Turut membintangi filem tersebut ialah Zul Huzaimy sebagai UR (Ustaz Romantik), Aleza Shadan sebagai Alyssa, Watie Sadali sebagai Aida dan Raja Azmi sebagai Lola.

    Barisan pelakon pembantu terdiri daripada Ezzaty Abdullah, Aishah Husna dan Lan Siro, selain penampilan istimewa Ameng Spring serta Siti Khadijah.

    Dalam masa sama, Bisikan Nafsu turut menjadi karya sulung Hello Production yang diasaskan oleh Azeva sebagai penerbit.

    A. Aida berkata, penubuhan syarikat produksi tersebut merupakan peluang untuk Azeva memahami keseluruhan proses penerbitan dan membina pengalaman dalam industri kreatif secara berperingkat.

    Sementara itu, pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman menyifatkan kerjasama menerusi filem tersebut sebagai satu permulaan bermakna selepas pengalaman panjangnya dalam bidang penerbitan.

    Beliau turut berharap kerjasama tersebut dapat membuka ruang kepada lebih banyak projek kreatif pada masa akan datang.

    Bagi pengarah Riza Baharudin, peluang mengarahkan Bisikan Nafsu merupakan satu pengalaman besar terutama kerana ia adalah filem pertama yang diarahkan olehnya.

    Menurut beliau, antara cabaran utama sepanjang penggambaran adalah menghasilkan babak mencabar yang memerlukan persediaan rapi termasuk babak di kawasan air terjun dan babak melibatkan aktiviti menyelam.

    Bisikan Nafsu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.

  • Media Prima & Primeworks Studios Kuasai FFM34 Dengan 5 Karya Terbaik

    Media Prima & Primeworks Studios Kuasai FFM34 Dengan 5 Karya Terbaik

    Lima kandungan utama terbitan dan edaran Media Prima serta Primeworks Studios terus menegaskan keunggulan mereka dalam industri hiburan tempatan dengan menerima pengiktirafan di Festival Filem Malaysia ke-34. Pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan mutu produksi dan penceritaan yang tinggi, tetapi juga membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam mengangkat kandungan tempatan ke tahap yang setanding dengan standard antarabangsa.

    Antara karya yang menarik perhatian di FFM34 termasuk tiga produksi terbitan TV3, iaitu Fail Mahkamah: Derita Zara, Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung dan Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga. Setiap karya membawa naratif berasaskan realiti dengan mesej kemanusiaan yang mendalam serta nilai inspirasi yang kuat. Dua lagi karya besar terbitan Primeworks Studios, Blood Brothers: Bara Naga dan Ejen Ali The Movie 2, menonjol dengan penceritaan mantap dan visual sinematik bertaraf antarabangsa, sekaligus memperkukuh reputasi produksi tempatan.

    Ejen Ali The Movie 2, hasil kolaborasi Primeworks Studios dan WAU Animation, terus mencipta fenomena di pawagam tempatan dengan rekod kutipan tertinggi. Filem animasi kebanggaan negara ini menerima pengiktirafan dalam beberapa kategori utama FFM34 termasuk skor muzik asal terbaik, kesan khas visual terbaik dan penataan bunyi terbaik, membuktikan pencapaian produksi animasi tempatan setara dengan piawaian antarabangsa.

    Blood Brothers: Bara Naga pula menjadi antara filem paling dominan tahun ini dengan pencalonan merentasi pelbagai kategori utama. Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra ini turut mendapat sokongan hangat daripada penonton dan pengkritik, menunjukkan kejayaan box-office dan penerimaan positif terhadap kualiti produksi, lakon layar, sinematografi, aksi dan lagak ngeri, penataan bunyi, penataan seni, lagu tema serta rekaan kostum.

    Fail Mahkamah: Derita Zara membawa penonton menyelami kisah sebenar seorang wanita yang menempuh kesukaran untuk memperjuangkan keadilan. Dokumentari ini menonjol melalui keberanian penceritaan yang mengetengahkan nilai kemanusiaan dan mendapat pencalonan bagi kategori Dokumentari Terbaik di FFM34. Begitu juga Fail Mahkamah: Rindu Tak Berpenghujung yang mengangkat kisah benar dengan pendekatan penceritaan yang jujur dan berempati, membuka perspektif baharu terhadap realiti dunia perundangan.

    Majalah 3: Nadi Peralihan Tenaga pula menampilkan episod khas sempena ulang tahun Tenaga Nasional Berhad yang membincangkan strategi peralihan tenaga negara serta inisiatif tenaga boleh diperbaharui untuk pembangunan mampan. Kandungan ini diiktiraf kerana memberi impak mendidik dan informatif kepada penonton, menunjukkan kekuatan pasukan produksi dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi.

    Kejayaan lima kandungan utama Media Prima dan Primeworks Studios menegaskan komitmen mereka dalam memperkukuh landskap kreatif tanah air, menghasilkan karya yang bukan sahaja menghibur tetapi juga menyampaikan mesej, nilai dan inspirasi kepada masyarakat. Malam Anugerah FFM34 yang bakal berlangsung pada 1 November 2025, jam 8.30 malam, akan menyaksikan pertembungan karya terbaik tanah air dan disiarkan secara langsung di TV2 RTM serta saluran rasmi YouTube FINAS, membolehkan peminat industri filem sama-sama menyaksikan detik bersejarah ini.

  • UTV Perkenal 5 Segmen Premium Hiburan & Platform Pitching Kreatif

    UTV Perkenal 5 Segmen Premium Hiburan & Platform Pitching Kreatif

    Industri hiburan tanah air kini menyaksikan perkembangan baharu dengan pelancaran platform penstriman digital eksklusif, UTV, yang hadir dengan tagline “Stream For You”. Diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd, UTV bukan sekadar ruang untuk menonton hiburan, tetapi juga membuka peluang besar kepada bakat kreatif tempatan untuk menonjolkan karya mereka ke pentas lebih luas.

    Presiden UTV merangkap CEO Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato Sri Dr. Hasan atau Datuk Nana, menjelaskan bahawa UTV lahir daripada inspirasi dan pengalaman panjang syarikat itu yang telah lama bekerjasama dengan industri seni tempatan serta stesen TV antarabangsa. Beliau percaya setiap karya bukan hanya sebagai hiburan semata-mata, tetapi juga sebagai legasi yang mencerminkan tamadun bangsa. Menurut Datuk Nana, industri seni merupakan nadi masyarakat kerana ia mengangkat budaya, identiti dan kisah hidup masyarakat. Dari perspektif ini, UTV diwujudkan bukan sekadar untuk menyiarkan karya, tetapi juga sebagai platform yang memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan.

    Bagi mereka yang mempunyai skrip atau idea kreatif yang belum dipaparkan, UTV membuka peluang luas untuk menghantar karya. Datuk Nana menekankan bahawa ramai penulis skrip, penerbit, dan kreator mempunyai jalan cerita hebat tetapi kekurangan platform untuk menayangkan karya mereka. UTV hadir untuk mengubah situasi ini dengan menilai, membimbing, dan membawa karya ke skrin platform tersebut.

    UTV beroperasi menggunakan model Pay Per Content, membolehkan penonton memilih kandungan yang diminati tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej. Pendekatan ini memberikan nilai eksklusif kepada setiap karya dan memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan mereka mengikut minat. Keunikan UTV juga terletak pada kesediaannya membuka ruang pitching kepada semua pihak, sama ada syarikat produksi besar, penerbit indie, mahupun penulis skrip baharu. Penonton dan kreator boleh menghantar idea atau sinopsis mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau menerusi media sosial rasmi UTV di Instagram @utv.official dan TikTok @utvoriginal.

    Dengan pendekatan ini, UTV dijangka menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih banyak karya asli Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Platform ini menampilkan lima segmen utama yang memenuhi pelbagai citarasa penonton. UTV Original menayangkan drama dan telefilem eksklusif seperti Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, Poskad Cinta Dari Auckland, Anak Mak, Aku Cinta Dia, dan Hantu Cinta Kamu. UTV Music pula menampilkan konsert eksklusif ke skrin penonton, termasuk Showcase Janji dan A Night With Aina Abdul 3.0. UTV Podcast membawa perbincangan segar dan relevan melalui program seperti Hitam Putih, Ruang Usanita, dan bakal datang Next Gen Ummah. Sementara itu, UTV Talkshow menawarkan bual bicara santai namun penuh nilai, antaranya Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly. UTV Smart pula menggabungkan hiburan dan ilmu melalui Bootcamp Usanita serta Online Business Game 101 with Zoey Rahman.

    Dengan penawaran segmen yang pelbagai ini, UTV bukan sahaja menyajikan hiburan berkualiti, tetapi juga menjadi platform strategik untuk mencungkil bakat baharu dan mengetengahkan idea segar dalam industri seni tempatan.