Anna Jobling Raih Pengiktirafan Antarabangsa di Seoul International Drama Awards 2025

Malam penuh bersejarah tercipta buat Anna Jobling apabila beliau diumumkan sebagai penerima anugerah Outstanding Asian Star – Malaysia di pentas berprestij Seoul International Drama Awards 2025 (SDA). Majlis gemilang itu berlangsung di Yeouido KBS Hall, Seoul, Korea Selatan dan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran SBS TV, sekali gus menyaksikan nama Malaysia bergema di persada antarabangsa.

Kemenangan Anna mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah seorang pelakon muda paling berbakat dalam industri hiburan tanah air. Lakonannya yang penuh penghayatan dalam drama “Hai Cinta, Dengarkanlah!” bukan sahaja meraih perhatian penonton tempatan, malah turut mencuri hati peminat antarabangsa. Dengan pengiktirafan ini, Anna kini berdiri sebaris dengan bintang Asia lain yang diiktiraf di peringkat global melalui SDA, salah satu anugerah drama paling berprestij di dunia.

Dalam ucapan penuh emosi, Anna melahirkan rasa syukur dan terharunya atas pengiktirafan tersebut. Beliau menyatakan penghargaan kepada Seoul International Drama Awards kerana memberi peluang kepada bakat Malaysia untuk bersinar di pentas antarabangsa. Anna turut berterima kasih kepada peminat, keluarga, serta seluruh pasukan produksi yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti, selain mengiktiraf peranan Tonton dan TV3 yang menjadi sebahagian penting dalam perjalanan seninya. Katanya, trofi berprestij ini bukan hanya miliknya, tetapi hadiah istimewa yang dibawa pulang untuk Malaysia.

Bagi meraikan kejayaan ini, Tonton melancarkan kod promo eksklusif “ANNAJOBLING” yang membolehkan peminat menikmati langganan tiga bulan pada harga istimewa RM20 bermula 25 September 2025. Langganan ini memberi peluang kepada penonton untuk menyaksikan pelbagai drama eksklusif dan filem terbaik, termasuk drama yang melonjakkan nama Anna, “Hai Cinta, Dengarkanlah!”, melalui koleksi khas “Koleksi Pujaan Hati”. Koleksi ini turut menampilkan drama-drama popular lakonan Anna sebelum ini seperti “Melur Untuk Firdaus”, “Terima Kasih Cinta” dan “Bella – Bila Cinta Bersatu”.

Kemenangan di Seoul International Drama Awards membuka lembaran baharu buat Anna Jobling yang kini semakin mengorak langkah ke pentas antarabangsa. Sebagai bintang muda yang semakin bersinar, Anna berazam untuk terus memberi inspirasi kepada generasi pelakon baharu Malaysia agar berani bermimpi besar dan melangkah lebih jauh. Kejayaan ini bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya menjadi simbol bahawa seni lakonan Malaysia kian mendapat tempat di mata dunia. Dengan pencapaian ini, Anna Jobling berdiri megah sebagai ikon hiburan tanah air yang mengangkat martabat Malaysia di persada global.

Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram menerusi akaun rasmi @tontonmy.