Nabila Razali Sandang Tugas Duta Jurucakap BMC Family 360° di Kajang

AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi mengumumkan penganjuran BMC Family 360°, sebuah pesta dan karnival keluarga bertemakan “A Step to the Future”. Acara berskala besar ini bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras dari 19 hingga 21 September 2025 bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebagai sebuah karnival keluarga yang julung kali diadakan, BMC Family 360° dirangka berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) dengan fokus memperkukuh nilai kekeluargaan, membina komuniti mampan dan mempromosikan gaya hidup pintar. Pelbagai aktiviti interaktif, pameran, pertunjukan serta hiburan akan ditampilkan bagi menarik minat pengunjung dari pelbagai peringkat umur.

Menurut Prof. Dr. Ng Kheng Lun, CEO AI Global, acara ini bukan sekadar sebuah pesta tetapi sebuah platform komuniti untuk keluarga melangkah ke masa depan dengan lebih sejahtera dan berdaya tahan. Beliau menegaskan bahawa kekuatan keluarga adalah asas kepada masyarakat yang makmur dan harmoni.

Bagi menyerikan acara, pihak penganjur turut mengumumkan pelantikan penyanyi terkenal tanah air, Nabila Razali, sebagai Jurucakap Acara BMC Family 360°. Pemilihan beliau adalah bertepatan dengan imej sebagai ikon generasi muda yang dekat dengan keluarga serta mempunyai pengaruh besar terhadap anak muda. Nabila menyatakan rasa terujanya untuk terlibat dalam penganjuran karnival ini kerana ia merupakan ruang untuk meraikan peranan keluarga dalam membentuk masa depan yang lebih baik.

Sepanjang karnival, Nabila akan terlibat dalam beberapa segmen utama termasuk sesi bertemu peminat, persembahan khas dan kempen promosi menjelang acara utama. Dalam kenyataannya, beliau menekankan bahawa Matlamat Pembangunan Mampan bukan hanya tertumpu kepada alam sekitar tetapi turut merangkumi aspek sosial dan ekonomi yang penting untuk kesejahteraan keluarga.

Prof. Ng turut merakamkan penghargaan kepada MPKj, BMC Mall, iBidan, CelcomDigi serta semua pihak yang terlibat sebagai rakan strategik dan penaja. Katanya, tema “Selangkah ke Masa Depan” dipilih kerana ia mencerminkan langkah pertama yang mungkin sukar dan mencabar tetapi sangat penting untuk memastikan kejayaan bersama.

BMC Family 360° dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran dengan pelbagai pengisian menarik termasuk pameran oleh agensi kerajaan, swasta dan NGO, pertandingan esports, ruang permainan interaktif, pertunjukan kebudayaan, mini zoo, pameran inovasi serta persembahan khas daripada Nabila Razali. Dengan sasaran komuniti sekitar Kajang, Cheras dan Lembah Klang, acara ini diharapkan menjadi platform yang memperkukuh semangat kekeluargaan sambil mengangkat nilai kemampanan untuk generasi akan datang.