MIRI GEGAR DENGAN KONSERT MELETOP TVS! Gandingan Astro & TVS Raih Sambutan Hebat Serantau – Miri Diserbu Peminat dari Brunei dan Kalimantan

Kota Miri menjadi tumpuan apabila Konsert MeleTOP TVS berjaya mencipta sejarah sebagai edisi pertama yang berlangsung di luar Lembah Klang. Berkonsepkan “Nang Champiyen, Nang Legend”, konsert mega yang dianjurkan secara bersama oleh Astro dan TVS ini menyatukan ribuan penonton di Stadium Tertutup Miri, termasuk peminat dari Brunei dan Kalimantan.

Menampilkan barisan artis hebat tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla, dan ramai lagi, konsert selama dua jam itu disiarkan secara langsung menerusi TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO, dan Sooka. Turut hadir memeriahkan malam penuh bintang ini ialah Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Malam dimulakan dengan gabungan tradisi dan muzik moden daripada Sada Borneo dan Dion Das, diikuti oleh persembahan rancak daripada Mimifly dan Stacy yang membakar pentas dengan lagu seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat”.

Aura anak Borneo terus menyerlah apabila Wani Kayrie dan Noki menggegarkan pentas dengan “Original Sabahan” dan “Not Like Us”, mencetuskan semangat bangga terhadap identiti tempatan.

Kemuncak acara menyaksikan Dayang Nurfaizah menerima “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” daripada Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Penghargaan ini meraikan sumbangan dan pencapaian Dayang sebagai ikon seni dari Sarawak yang mengharumkan nama Borneo di peringkat nasional.

Dayang turut menghadiahkan persembahan penuh emosi menerusi “Seandainya Masih Ada Cinta” serta duet menggetarkan bersama Hael Husaini menerusi lagu popular “Haram”.

Penonton turut teruja dengan kemunculan bintang bersuara lantang seperti Marsha Milan, Nadeera, dan Hairee Francis. Persembahan Dolla yang bertenaga dan glamor menutup malam dengan penuh bergaya.

Pengacara popular seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Hawa Rizwana disatukan bersama barisan hos TVS seperti Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi – menjadikan suasana kekal meriah sepanjang acara.

Bersedia Untuk Konsert Berkat Gawai-Kaamatan – 21 Mei 2025

Momentum diteruskan dengan pengumuman Konsert Berkat Gawai-Kaamatan yang bakal berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7.30 malam di Stadium Tertutup Miri. Membariskan ikon rock Ella sebagai artis utama, konsert ini turut menampilkan Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan Marina Jara dari Kalimantan.

Tiket percuma untuk acara ini telah habis ditempah dalam masa singkat, namun peminat masih boleh mendapatkan tiket di laman web rasmi TVS (tvsarawak.my) atau terus di pintu masuk selagi stok masih ada. Jangan lepaskan peluang untuk merasai sendiri sambutan Gawai dan Kaamatan yang penuh warna-warni serta muzik merentas budaya!

Miri – Destinasi Hiburan Serantau

Menurut En. Mohamad Sardon Zainal, “Kedudukan strategik Miri yang berdekatan dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan menjadikannya lokasi ideal untuk meraikan acara berskala besar seperti ini, bersempena ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandaraya.”

Konsert Bertaraf Antarabangsa Untuk Semua

Gabungan artis arus perdana dan bakat tempatan dari Sabah, Sarawak dan Kalimantan membuktikan bahawa Konsert MeleTOP TVS bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform penting untuk meraikan kepelbagaian budaya, bakat dan semangat komuniti. Akses percuma turut membuka peluang kepada lebih ramai untuk menyaksikan hiburan bertaraf antarabangsa di bumi Borneo.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.tvsarawak.my