McDonald’s Malaysia Raikan Hari Guru Mekdi 2025, Hargai 15,000 Pendidik di Seluruh Negara

McDonald’s Malaysia terus memperkukuh komitmennya dalam menghargai jasa pendidik melalui penganjuran sambutan Hari Guru Mekdi buat tahun kesembilan berturut-turut. Sepanjang Mei 2025, syarikat ini meraikan hampir 15,000 guru daripada lebih 300 buah sekolah di seluruh negara, sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka dalam membentuk masa depan generasi muda.

Acara sambutan kali ini disambut penuh mesra dan meriah apabila restoran-restoran McDonald’s di seluruh negara mengambil inisiatif mendekati sekolah di kawasan setempat. Aktiviti penghargaan dianjurkan sama ada di restoran mahupun di premis sekolah, lengkap dengan jamuan makanan McDonald’s dan pelbagai aktiviti menarik untuk para guru.

Sebagai kemuncak sambutan, McDonald’s Malaysia menganjurkan majlis khas di McDonald’s Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, melibatkan guru-guru daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sentul dan Sekolah Kebangsaan Taman Keramat (1). Majlis ini menjadi simbol penghargaan kepada insan yang bergelar pendidik, yang tidak pernah jemu mencurah ilmu dan kasih sayang kepada anak-anak bangsa.

“McDonald’s sentiasa mengutamakan peranan komuniti dalam setiap aspek perniagaannya. Apabila bercakap tentang guru, senyuman mereka menjadi inspirasi utama kami. Inilah sebab mengapa kami komited menganjurkan sambutan ini selama sembilan tahun berturut-turut. Guru adalah tulang belakang sistem pendidikan negara dan kami mahu mereka terus bermotivasi dalam mendidik. Terima kasih cikgu!” kata Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia.

Bagi melengkapkan penghargaan ini, McDonald’s Malaysia turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada 10 sekolah terpilih untuk tujuan menaik taraf bilik guru, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM50,000. Inisiatif ini merupakan satu lagi usaha McDonald’s dalam memberikan impak positif kepada ekosistem pendidikan di Malaysia.

Sejak Hari Guru Mekdi diperkenalkan pada tahun 2017, pelbagai bentuk penghargaan telah diberikan, termasuk pengedaran 500,000 baucar makanan percuma kepada guru seluruh negara pada tahun 2019 dan 2022. Usaha ini mencerminkan dedikasi jangka panjang McDonald’s Malaysia dalam menzahirkan penghargaan terhadap tenaga pengajar di pelbagai peringkat.

Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Program Komuniti @ McDonald’s yang melibatkan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan setiap tahun di seluruh negara. Dengan lebih 370 restoran beroperasi di Malaysia, McDonald’s terus menjadi rakan komuniti yang aktif dan prihatin.

Sambutan Hari Guru Mekdi 2025 sekali lagi menegaskan komitmen McDonald’s Malaysia dalam menceriakan, menyantuni dan menghargai para guru, seiring usaha membentuk masyarakat yang lebih baik dan harmoni.