Gardenia QuickBites mencipta sejarah dengan menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records untuk ‘Most Wall Murals In A Branding Campaign’. Majlis Penyampaian Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ yang berlangsung di Hotel Renaissance petang tadi menjadi saksi kepada pencapaian gemilang ini.
Ini merupakan kali pertama Gardenia menerima pengiktirafan berprestij ini, yang diharapkan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif positif pada masa akan datang.
Program ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’ bersama QuickBites 2024 telah memberikan manfaat kepada lebih 130,000 murid dan guru dari lebih 120 sekolah menengah di seluruh Semenanjung Malaysia. Pertandingan mural yang dianjurkan bukan sahaja mendorong kreativiti tetapi juga mempromosikan gaya hidup sihat dari segi mental dan fizikal.
SMK Seksyen 24 (2), Shah Alam berjaya meraih hadiah utama berupa wang tunai RM5,000, sementara SMK Bukit Kepayang dan SMK Seremban 2 masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua dengan hadiah wang tunai RM3,000 dan RM2,000. SMK Wangsa Maju Seksyen 2 pula menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM1,000.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Haji Azman bin Mashuri, Timbalan Pengarah, Sektor Perancangan dan Pengurusan Sekolah 2, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Puan Lavinia Anthony, Pengurus Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd.
Menurut Tuan Haji Azman, “Pertandingan mural ini membolehkan murid dan guru menyerlahkan kreativiti serta bakat mereka sambil memfokuskan kepada gaya hidup sihat. Ini selaras dengan hasrat KPM untuk melahirkan generasi holistik dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.”
Puan Lavinia Anthony menyatakan bahawa program ini bertujuan untuk memperkasakan bakal pemimpin melalui aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat secara holistik. “Melalui program ini, QuickBites berharap dapat meningkatkan kesedaran murid tentang pentingnya menjaga kesihatan mental,” katanya.
Pertandingan mural yang berlangsung dari Februari hingga Mei melibatkan kerjasama antara murid dan guru untuk menghasilkan mural bertemakan ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’. Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian perlu menghantar hasil karya mereka kepada QuickBites pada 24 Mei untuk dinilai.
“Gardenia QuickBites berbesar hati menyediakan platform ini bersama Kementerian Pendidikan Malaysia. Aktiviti ini bukan sahaja membina kenangan menyeronokkan tetapi juga menyemarakkan semangat daya saing yang sihat dalam diri murid dan guru,” ujar Lavinia lagi.
QuickBites komited untuk terus menganjurkan program-program yang menyampaikan mesej positif tentang kepentingan kesihatan mental dan fizikal. QuickBites menawarkan pelbagai pilihan roti dengan 10 variasi perisa yang boleh didapati di seluruh Semenanjung Malaysia.
Senarai Pemenang Anugerah QuickBites 2024 ‘Minda Sihat, Cergas Fizikal’
- Hadiah Utama: SMK Seksyen 24 (2), Selangor – Wang tunai RM5,000 beserta Sijil Penghargaan
- Tempat 1: SMK Bukit Kepayang, Negeri Sembilan – Wang tunai RM3,000 beserta Sijil Penghargaan
- Tempat 2: SMK Seremban 2, Negeri Sembilan – Wang tunai RM2,000 beserta Sijil Penghargaan
- Tempat 3: SMK Wangsa Maju Seksyen 2, Kuala Lumpur – Wang tunai RM1,000 beserta Sijil Penghargaan
- Saguhati: SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor – Wang tunai RM500 beserta Sijil Penghargaan
- Saguhati: SMJK Ave Maria Convent, Perak – Wang tunai RM500 beserta Sijil Penghargaan
Gardenia QuickBites sentiasa berusaha untuk menyebarkan keceriaan melalui produk-produk mereka dan berharap untuk terus memberikan impak positif kepada komuniti.